Photobucket

Armani wanita pertama dilantik Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara


KUALA LUMPUR: Datuk Armani Mahiruddin hari ini mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Pelantikan Exco Wanita Umno itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ke11 berlangsung hari ini dengan upacara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Wong Foon Meng.

Pelantikan Armani, yang juga Anggota Dewan Negara sejak 9 Disember 2005 sehingga kini, dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul pelantikan Armani dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebaik sahaja sidang bermula dan disokong oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Armani, 52, pernah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun bermula dari 1978 sebelum meninggalkan dunia pendidikan pada 1995 untuk berkhidmat sepenuh masa kepada Umno. Ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, Armani melahirkan rasa terharu di atas pelantikan itu apatah lagi menjadi wakil kaum hawa pertama yang dilantik memegang jawatan kedua tertinggi dalam badan penggubal undang-undang utama negara.

Armani, yang hanya mengetahui mengenai pelantikannya pada pukul 3 petang semalam, mengucapkan terima kasih kepada Najib, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman serta Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil diatas kepercayaan yang diberikan.

Beliau berkata pelantikannya merupakan satu penghormatan buat kaum wanita di negara ini dan merupakan detik bermakna dalam sejarah negara memandangkan seorang wanita diberi pengiktirafan memegang jawatan penting sekaligus memperkasa kaum wanita.

"Syukur, kebetulan pelantikan ini berlaku pada tahun ini yang mana Parlimen Malaysia menyambut ulang tahun Jubli Emas ke-50, jadi mungkin ini yang dikatakan "tuah ayam nampak di kaki , tuah manusia siapa yang tahu...", katanya.

Armani berkata beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai anggota Dewan Negara untuk memberikan khidmat terbaik kepada dewan agar menjadi satu badan perundangan yang dihormati.

Adik kepada bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Juhar Mahiruddin itu mengakui tanggungjawab besar yang bakal digalasnya dan akan menimba ilmu daripada abangnya.

"Tanggungjawab ini memang berat dan saya boleh menimba ilmu dari abang saya, syukur adik beradik dapat rezeki sama..., abang saya turut melahirkan rasa gembira dan ada memberikan ilmu untuk duduk di kerusi itu, " katanya.


BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers