Negeri Sembilan Julang Piala Malaysia 2011
SHAH ALAM – Negeri Sembilan berjaya menamatkan kemarau selama dua tahun bagi menjulang Piala Malaysia edisi ke-85 setelah mengalahkan Terengganu dengan kemenangan tipis 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam Sabtu malam.
Hairuddin Omar menjadi wira buat skuad Hoben Jang Hoben setelah menjaringkan gol penentuan apabila kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sebelum berakhirnya 90 minit masa perlawanan.
Kali terakhir Negeri Sembilan menjulang piala itu ialah pada 2009 setelah menumpaskan Kelantan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Beraksi di hadapan lebih 70,000 penyokong kedua-dua pasukan, kedua-dua pasukan bermula garang apabila masing-masing melancarkan serangan balas ke gawang lawan pada babak pertama namun buntu mencari gol pembuka tirai.
Negeri Sembilan terlebih dahulu melancarkan serangan awal ke atas Terengganu yang diketuai penyerangnya, Hairuddin sejurus tirai babak pertama bermula namun sepakannya sekadar lalu menyinggahi tepi tiang gol Terengganu.
Terengganu dihidangkan peluang terbaiknya pada minit ke-23 menerusi penyerang sensasi Abdul Manaf Mamat yang berjaya meloloskan diri ke dalam kotak penalti namun palang menjadi penghalang yang dikawal penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias.
Selang seminit kemudian, Negeri Sembilan pula mendapat peluang terbaiknya menerusi serangan balas hasil gerakan dan larian lincah yang dipamerkan oleh S.Kunanlan namun tersasar sepakan bolanya yang lalu di tepi gawang skuad Penyu itu hinggalah tamat babak pertama.
Berselang babak kedua berlangsung, Terengganu yang dikendalikan oleh Irfan Bakti Abu Salim terlebih dahulu berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-59 yang berpunca daripada satu serangan pantas hasil larian Abdul Manaf yang bijak menghidu peluang sebelum melorongkan bola kepada Ashaari Samsudin dalam kotak penalti.
Tanpa sebarang masalah, Ashaari pantas merembat masuk bola ke gawang menewaskan Mohd Farizal dan membuatkan penyokong Peteh Ganu Peteh bersorak keriangan.
Tersentak dengan keputusan itu, skuad Hoben Jang Hoben melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya skuad kendalian Mohd Azraai Khor memperoleh gol penyamaan pada minit ke-81 yang dijaringkan oleh Kunanlan menerusi hantaran lambung yang menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee yang dilihat teragak-agak menangkap bola tersebut hingga membawa padah.
Selang lima minit kemudian Hairuddin selaku pemain senior terus mencurahkan ilmunya dan berjaya melengkapkan kemenangan dengan penyudah lipatan gunting ke sudut kanan gawang Terengganu hasil hantaran lintang daripada pemain tengah, Muhamad Shukor Adan.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan Piala Malaysia kepada pasukan Negeri Sembilan.
Hairuddin dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment