Photobucket

Indeks Jenayah Menurun



PUTRAJAYA : Penurunan indeks kadar jenayah secara keseluruhan sejak Januari hingga November lalu menunjukkan segala usaha yang dijalankan pelbagai pihak terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kejayaan, sekali gus melepasi sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman berkata, sepanjang tempoh berkenaan, indeks jenayah keseluruhan turun 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu manakala indeks jenayah jalanan juga turun sebanyak 38 peratus.

“Pencapaian itu menunjukkan sasaran penurunan indeks jenayah di bawah NKRA kementerian sebanyak lima peratus hingga akhir tahun ini melebihi sasaran sebenar kerana penurunan yang dicatatkan adalah sebanyak 16 peratus.

“Malah, indeks jenayah jalanan juga turun kepada 38 peratus tahun ini berbanding sasaran sebenar iaitu 20 peratus.

“Kementerian bukan saja sudah mencapai sasaran, tetapi jauh melebihi sasaran yang ditetapkan, sekali gus menunjukkan satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, semalam.

Abu Seman berkata, bagi memastikan program pemulihan banduan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, Jabatan Penjara Malaysia sudah merangka modul pemulihan yang lebih fokus mengikut kategori penghuni.

Menurutnya, setiap modul dibuat berdasarkan kes kemasukan atau peringkat umur bagi memudahkan proses pemulihan.

“Jabatan berkenaan sudah merangka strategi yang sesuai dan berkesan mengikut keperluan semasa dalam usaha memulihkan banduan berkenaan, selain mengurangkan kes pesalah berulang (residivis).

“Malah, setiap penghuni juga turut diberikan kemahiran yang sewajarnya sepanjang menjalani pemulihan dan bidang kemahiran asas yang sentiasa diperluas dari semasa ke semasa untuk memberi lebih banyak pilihan,” katanya.

METRO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers