Photobucket

TPM : Jangan Leka Perang Psikologi Pembangkang

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) supaya tidak leka dengan strategi pembangkang yang kini mula melancarkan 'perang psikologi' bagi membangkit rasa marah rakyat terhadap parti dan kepimpinan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, tindakan itu termasuk memanipulasi fikiran rakyat supaya menjatuhkan kerajaan dengan berdemonstrasi ala 'Arab Spring' seperti perhimpunan haram Bersih 3.0 pada April lalu.

Jelas beliau, muslihat sedemikian digerakkan kerana pembangkang mula sedar bahawa sokongan rakyat terhadap mereka semakin berkurangan.

"Mungkin analisis pembangkang mengatakan mereka tidak dapat sokongan yang dijangka dan BN akan jadi lemah serta tak mampu pulih selepas 2008. Pembangkang tahu mereka susah nak tumbangkan BN secara demokrasi.

"Saya pun baca politik. Kita tahu muslihat mereka. Namun jangkaan mereka meleset. BN kini kembali kuat. Namun kita sedar kelemahan-kelemahan dan sebab itu kita turun padang," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya BN Wilayah Persekutuan di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pembangkang juga cuba meraih sokongan masyarakat antarabangsa menerusi penubuhan badan pemantau pilihan raya yang disertai pemerhati-pemerhati luar.

"Ini juga muslihat supaya badan itu membuat kesimpulan pilihan raya umum nanti tidak adil dan tidak bersih. Ini cara nak cari sokongan masyarakat antarabangsa bagi menyatakan pilihan raya umum tidak sah," ujarnya.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya baru-baru ini yang mengatakan pembangkang sengaja mahu menanam persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan BN.

Beliau juga mempersoal motif pembangkang yang terus menuntut diadakan sistem pilihan raya bersih dan adil walaupun pelbagai inisiatif telah diambil untuk mengkaji dan menambah baik sistem tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers