Kantoi habis kali ini, rakyat sendiri boleh menilai mengenai apa sebenarnya yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu di ibu kota, apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memuat naik rakaman visual tersebut dalam laman web rasmi kementerian tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakaman visual tersebut sudah siap sepenuhnya dan telah disahkan sumbernya akan dimuat naik ke laman web kementerian, Selasa ini.
“Video Bersih 3.0 sudah siap dan boleh ditonton oleh masyarakat mulai pagi Rabu ini selepas ianya selesai proses muat naik yang akan dilakukan pada Selasa.
“Niat kita supaya masyarakat dapat lihat dan membuat penilaian serta rumusan dalam perspektif yang lebih luas. Sekarang kita terbuka supaya rakyat dapat buat rumusan berdasarkan fakta dan bukan pertimbangan sempit menjurus kepada perhitungan tertentu,” katanya di Kluang, Johor..
Apabila ditanya sama ada kementerian bersedia berdepan pihak yang mempertikai sumber serta kesahihan video yang akan disiarkan itu, Hishammuddin berkata, pihaknya bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku.
“Kita sudah bersedia, sekiranya apa yang kita siarkan bukan fakta, saya alu-alukan pihak berkenaan saman KDN. Kita mahu kebenaran, mahu pembelaan, bukan saja kepada pihak yang berhimpun, malah pembelaan untuk polis serta media yang dikasari juga turut mahu keadilan, tidak ada sebab kita mahu sembunyi apa-apa daripada semua,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, kementerian juga mahu memohon kerjasama orang ramai supaya membantu pihak berkuasa mengesan peserta perhimpunan Bersih 3.0 yang masih enggan menyerah diri.
“Kita minta masyarakat bantu kita kenal pasti golongan tidak bertanggungjawab ini. Mereka (peserta enggan serah diri) tidak boleh lari atau sembunyi daripada undang-undang selama-lamanya dan usaha untuk kesan dan kenal pasti golongan ini akan diteruskan,” katanya.
Dalam sidang media itu juga, Hishammuddin mengalu-alukan langkah penerbit buku Irshad Manji, Allah, Kebebasan dan Cinta yang dilaporkan bercadang memfailkan tindakan undang-undang, terhadap KDN dan dua jabatan agama.
“Saya mengalu-alukan tindakan mahu saman kita, saya difahamkan dia tiada dalam negara, kita mahu memanggil pihaknya siasatan selepas pengharaman buku berkenaan.
“Jadi untuk bantu siasatan, sama ada dia nak tampil ke hadapan secara sukarela atau mahu saman KDN, saya tidak kisah. Apa yang penting, tampil ke hadapan untuk berhadapan dan bertanggungjawab terhadap tindakan yang dia lakukan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment