Photobucket

Jawatankuasa Terpilih : Wakil BN Wakili Semua Kaum Terbesar

PUTRAJAYA 22 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan nama lima Anggota Parlimen Barisan Nasional mewakili semua kaum terbesar bagi menganggotai Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk mengkaji dan menambah baik sistem dan proses pilihan raya di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili (wakil bagi Sabah dan Kadazan) dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas tersebut.

Empat yang lain ialah Datuk Alexander Nanta Linggi (wakil bagi Sarawak dan Iban), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (wakil UMNO dan Melayu), Tan Sri Dr. Fong Chan Onn (wakil MCA dan Cina) serta Anggota Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (wakil MIC dan India).

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Bekalan dan Harga di sini, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata, senarai nama itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Muhyiddin juga berkata, beliau gembira dengan keputusan pembangkang untuk menyertai jawatankuasa itu.

“Kita mahu semua pihak terlibat, bukan hanya komponen Barisan Nasional. Bila saya membaca pengumuman pihak sana pun (pembangkang) bersetuju, saya fikir itu bagus sebab proses jawatankuasa itu boleh berjalan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, bukan satu pihak sahaja,” katanya.

Muhyiddin berkata usul mengenai pembetukan jawatankuasa itu akan dibentangkan di Parlimen pada 3 Oktober ini.

Jawatankuasa itu dianggotai sembilan wakil rakyat iaitu lima daripada Barisan Nasional, tiga daripada pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.

Ketika mengumumkan pembetukan jawatankuasa itu pada 15 Ogos lepas, Najib berkata, ia akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang sekali gus menjadi bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih.

BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers