Photobucket

Malaysia-Brunei Perkukuh Kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN 12 Sept. – Malaysia dan Brunei bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sektor minyak dan gas menerusi satu perjanjian serta tiga Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Rundingan Tahunan ke-15 antara ketua kerajaan kedua-dua negara di sini malam ini.

Kerjasama itu dimeterai dalam MoU yang membolehkan Petronas serta Syarikat Petroleum Nasional Brunei (PetroleumBRUNEI) meneroka bersama sumber minyak di dalam Blok N dalam wilayah Brunei menerusi kontrak berkongsi hasil pengeluaran.

Kerjasama itu dimeterai dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, di sini malam ini.

Kedua-dua pemimpin dalam kenyataan bersama mereka yang dikeluarkan selepas pertemuan empat mata turut membincangkan pelaksanaan projek bersama membina Jambatan Sungai Pandaruan yang menghubungkan Limbang di Malaysia dengan Temburong, Brunei.

Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah pada pertemuan itu turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembinaan jambatan berkenaan yang ditandatangani oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor dengan Menteri Komunikasi Brunei, Datuk Seri Setia Awang Abdullah Begawan.

Shaziman dan Awang Abdullah dijadual menghadiri majlis pecah tanah projek berharga RM25 juta itu di Temburong esok.

Projek itu memberi makna yang besar kepada rakyat di sempadan kedua-dua negara sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan di kawasan tersebut khususnya pada waktu puncak.

Pada masa ini, kerajaan Malaysia dan Brunei bekerjasama menanggung kos operasi feri di sungai tersebut dengan caj minimum RM8 untuk kenderaan persendirian dan maksimum RM150 untuk kenderaan berat.

Turut sama dalam delegasi Malaysia sempena Rundingan Tahunan ke-15ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers