Photobucket

Fahaman Irshad Manji Wajib Ditentang...

Belum pun reda ingatan kita terhadap buku Satanic Verses hasil karya Salman Rushdie pada 1980-an lalu di London yang menghina Tuhan, kini muncul pula seorang wanita Islam yang berfahaman liberalismie, pluralisme dan pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Justeru, ketegasan pihak bertanggungjawab sememangnya diperlukan bagi mengekang sebarang ancaman bentuk baru kumpulan ini terhadap umat Islam di negara ini.

Ramai yang berharap kerajaan tidak akan berkompromi dan terus menghalang wanita terbabit, Irshad Manji, 48, daripada menyampaikan pandangannya ataupun melancarkan bukunya, Islam, Liberty and Love di sini kerana ia mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam.

Jelas sekali bahawa pendirian wanita terbabit adalah bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan, Akta dan Enakmen Agama Islam negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir mahukan semua jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program membabitkan wanita itu.

Kita berharap pendirian menteri dan jabatan berkenaan dilaksanakan dengan tegas dan saya yakin umat Islam bersetuju dengan langkah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghalang sebarang program, forum atau ceramah di negeri berkenaan yang membabitkan Irshad Manji kerana menghina agama Islam.

Larangan itu meliputi satu program di Universiti Monash, Bandar Sunway Jumaat lalu di mana Irshad dijadualkan menyampaikan pandangannya bertajuk ‘Keberanian Moral: Mewujudkan Ruang Untuk Islam dan Demokrasi’.

Irshad adalah warga Kanada dan juga penulis buku The Trouble With Islam Today yang diharamkan di Malaysia. Buku itu mengandungi idealisme sama seperti dalam buku The Satanic Verses.

Pendirian Malaysia dalam perkara ini adalah selaras dengan ketetapan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menolak orientasi seksual yang mendukung LGBT.

Kemunculan kumpulan tertentu yang mendukung kehidupan bebas dan liberal ini sudah tentunya mengancam amalan biasa kehidupan umat Islam seperti yang kita lihat berlaku di sekeliling kita sejak akhir-akhir ini.

Sekiranya tidak dibendung, tidak mustahil pada satu hari kelak ia tidak mampu lagi dikawal oleh masyarakat Islam terutama dengan pengaruh Barat akibat perkembangan hebat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tiada had atau garis sempadannya lagi.

Umat Islam di negara ini hendaklah sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan fahaman ideologi yang dibawa oleh kumpulan atau individu tertentu.

Kita juga berharap kerajaan bersikap tegas dan mengusir sebarang anasir seperti itu dari Malaysia sebelum dia mempengaruhi masyarakat di negara ini dengan pendirian liberalnya.

Seperti ditegaskan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, sebagai seorang yang menyokong seks bebas, wanita terbabit seolah-olah cuba menjuarai isu kekebasan seks dan moral dan mahu ia menjadi sebahagian daripada norma kehidupan masyarakat Melayu walaupun jelas bertentangan dengan Islam.

Setiausaha agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata beliau terkejut kenapa orang ini dibenarkan masuk sedangkan berita mengenai penganjuran program itu sudah diketahui sebelum ini.

Wanita terbabit, tambahnya, menggalakkan sesuatu yang jauh menyimpang daripada tatasusila rakyat Malaysia.

“Amalan seks bebas itu boleh menjadi ikutan anak muda zaman sekarang dan itu yang kita bimbangkan,” kata Syed Hassan.

Dalam keadaan itu kerajaan, menerusi beberapa agensi dan jabatan seperti JAKIM serta ulama perlu mempunyai perancangan untuk mematahkan hujah yang dikelirukan oleh pihak tertentu seperti ini. Ancaman pemesongan akidah umat Islam ini harus ditangani dengan serius oleh pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam usaha itu, kita perlu mengambil perhatian bahawa sekarang inipun sudah ada ramai golongan muda Melayu di negara ini yang tidak mempedulikan lagi soal agama mahupun kepentingan kaum.

Adalah diharapkan semua pihak sama ada badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik, tidak kira dalam kerajaan mahupun pembangkang, tidak hanya sibuk dengan hal masing-masing sehingga mengabaikan tanggungjawab besar membendung gejala moral dan seks bebas yang dibawa oleh anasir luar.

1 comments:

Anonymous said...

Penerbit buku ni x kena tahan plak? Diorg pun membantah pengharaman buku ni

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers