Photobucket

Haram Sertai Perhimpunan Cetus Huru-Hara

SEPANG – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas.

“Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

“Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu di sini.

Beliau berkata, turut dibincangkan dalam muzakarah itu adalah gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Transeksual (LGBT) yang tidak memerlukan pengeluaran sebarang fatwa kerana ia jelas haram di sisi Islam.

Selain mengelak daripada terjebak dalam seks songsang seumpama itu, Abdul Shukor berkata, umat Islam juga diminta tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sebarang gerakan, sokongan atau kempen mengenai LGBT.

“Untuk orang yang menunjukkan sokongan dan simpati kepada LGBT pun haram juga. Tugas menghapuskan gejala ini adalah tugas semua umat Islam dan jika kita sokong perkara yang tidak baik itu dikatakan bersubahat dan berdosa jawabnya,” katanya.

Beliau berkata, tindakan menyanjung pemimpin yang menyokong LGBT juga perlu dielakkan kerana Islam sendiri menyenaraikan ciri-ciri pemimpin yang boleh dipilih antaranya bermoral tinggi, patuh ajaran agama, berpengetahuan dan amanah.

Abdul Shukor berkata, muzakarah turut menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi menyekat gejala seks songsang daripada terus berleluasa.

Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin, individu atau media dinasihat menghentikan sikap suka mendedahkan secara terbuka perkara-perkara keji yang didakwa dilakukan mana-mana pihak.

“Ini kerana perbuatan mendedahkan keaiban orang lain lebih-lebih lagi yang berkait dengan hubungan seksual amat ditegah Islam. Jika bertujuan untuk menghapuskan kemungkaran, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas,” katanya.

BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers