Photobucket

Lagi Tokoh Kristian Gesa Gugur Kalimah Allah


KOTA KINABALU 13 Jan. - Seorang lagi tokoh Kristian dari negeri ini, Webley Disim, yang juga Yang Dipertua Dewan Usahawan Bumiputera Sabah hari ini menggesa akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah.

Tegasnya, langkah itu, penyelesaian terbaik bagi mengelak pertelingkahan atau konflik antara agama terus berlaku sehingga mencetuskan ketegangan.

"Sebagai tanda hormat kepada agama rasmi negara ini iaitu Islam dan juga masyarakat pelbagai kaum, Herald-The Catholic Weekly wajar menimbang tindakan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun menyarankan akhbar itu menggugurkan kes berkenaan sebagai jalan penyelesaian yang terbaik.

Menurut tokoh Kristian dari Sabah itu, tindakan tersebut perlu, memandangkan perkembangan isu berkenaan semakin membimbangkan sehingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar dan turut menerima ugutan.

Webley yang juga Naib Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Malaysia mengakui, tindakan akhbar itu sememangnya mempunyai motif untuk menarik penganut Islam kepada Kristian.

"Saya difahamkan oleh rakan-rakan dari Kuala Lumpur, tindakan akhbar itu adalah untuk menguji orang Melayu dan Islam, dengan menyatakan 'kita' menyembah tuhan yang sama iaitu Allah," katanya.

Menurutnya, perbuatan tersebut akan mengelirukan umat Islam kerana Allah bagi penganut Islam dan Kristian adalah berbeza mengikut kepercayaan masing-masing.

"Ini tidak baik, kenapa perlu menarik orang yang sudah beragama, sepatutnya kita (Kristian) menarik orang yang masih tiada agama seperti Orang Asli di Semenanjung atau Bumiputera di Sabah atau Sarawak," katanya.

Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Joseph Pairin Kitingan ketika menjadi Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun tidak bersetuju jika penggunaan kalimah Allah diharamkan terus dalam agama Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganut agama itu pula.

"Saya bersetuju jika akhbar tersebut menggugurkan tuntutan itu tetapi tidak secara keseluruhan, maksudnya dalam upacara-upacara sembahyang di gereja, kalimah Allah masih boleh digunakan," katanya.

Webley menggesa semua pihak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya rakyat Malaysia bertenang dan menghormati semua rumah ibadat.

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira agama perlu berterima kasih kepada kerajaan atas kebebasan beragama yang mereka nikmati sejak pembentukan Malaysia.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers