Photobucket

Zaman Kegelapan PKR Berterusan - Muhyiddin


MIRI 21 Jan. - Senario yang membelenggu Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk semakin kehilangan sokongan berikutan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan pusat, dipercayai akan berterusan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat senario itu sebagai petanda penyokong-penyokong PKR semakin sedar mereka telah berjuang di atas landasan yang salah dan mahu kembali ke pangkal jalan.

Katanya, itu juga satu lagi perkembangan yang menunjukkan semakin hari kepercayaan ahli-ahli PKR semakin merosot.

''Baru-baru ini kita dengar Setiausaha Agung PKR letak jawatan, kemudian ahli jawatankuasa dibubarkan di Kuala Selangor. Saya fikir ia trend yang (akan) berterusan.

''Sewaktu PKR ditubuhkan, pihak-pihak tertentu terpengaruh atau terpedaya dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sehingga mereka fikir PKR membela nasib mereka.

''Saya tahu dan dapat maklumat mereka berasa kecewa dengan kepimpinan Anwar dan kepimpinan (Tan Sri) Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor),'' katanya.

Muhyiddin bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri di sini hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan 11 anggota jawatankuasa serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PKR Bahagian Kuala Selangor kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdul Khalid.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat-peringkat bermula November lalu hingga kelmarin.

Mereka bertindak demikian kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau percaya dan optimis ahli-ahli PKR akan keluar beramai-ramai daripada parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

''Ahli-ahli PKR semakin sedar kepimpinan parti itu lebih banyak bermain politik tetapi tidak berupaya memajukan negara atau menunjukkan kesungguhan memajukan rakyat,'' katanya.

Menjawab soalan mengenai desakan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Muhyiddin berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada ia perlu diwujudkan semula atau sebaliknya.

''Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika awal-awal memegang jawatan telah menerangkan sebab-sebab kementerian itu ditutup.

''Tetapi kita adalah kerajaan yang prihatin, mereka (usahawan) boleh kemukakan pada Perdana Menteri, terserah kepada pada budi bicara beliau,'' katanya.

Muhyiddin memberitahu, penubuhan kementerian adalah dalam bidang kuasa Perdana Menteri dan cadangan mewujudkan semula MECD perlu diketengahkan kepada Najib supaya boleh diteliti kewajarannya.

Baru-baru ini usahawan bumiputera mendesak kerajaan mewujudkan semula MECD atau badan khas bagi membela nasib mereka yang kian tertekan.

Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia, Hasan Hamzah berkata, usahawan bumiputera khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) kini dalam keadaan getir selepas kementerian itu dibubarkan sembilan bulan lalu.


UTUSAN MALAYSIA - 22 JANUARI 2010

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers