Photobucket

BN Ada Bukti PAS Bersalah


KUALA LUMPUR 12 Jan. – Barisan Nasional (BN) Kelantan mempunyai bukti lengkap menunjukkan kes ganti rugi RM800 juta yang perlu dibayar kerajaan negeri kepada sebuah syarikat bukan berpunca daripada kesilapan pentadbiran kerajaan BN sewaktu memerintah negeri itu sebelum ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun pimpinan kerajaan Pas Kelantan hari ini meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan BN namun fakta yang ada menunjukkan sebaliknya.

“Kita ada maklumat lengkap bahawa Pas memang bersalah dalam isu ini dan kerajaan juga sedang mengumpul pelbagai maklumat lain lagi. Semua fakta yang ada menunjukkan mereka bersalah,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Perdagangan dan Industri Mesir, Eng Rachid Mohamed Rachid di Menara Matrade di sini hari ini.

Hadir sama timbalan beliau, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengulas pengakuan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, bahawa UMNO tidak bersalah sepenuhnya dalam isu itu.

Semalam, Husam berkata, kerajaan negeri tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas bahu pemimpin UMNO yang mentadbir Kelantan pada era sebelum Pas.

Sebaliknya, kata Husam, kerajaan negeri semasa akan bertanggungjawab mencari penyelesaian melalui mahkamah untuk menghadapi kes itu.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyalahkan kerajaan BN kerana Pas terpaksa mewarisi kesilapan tersebut.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, berikutan kenyataan Husam itu, kerajaan Pas Kelantan kini terpaksa menelan malu setelah Nik Aziz dan Mohd. Amar sebelum itu membuat tuduhan sebaliknya.

“Ini bukan kali pertama Pas membuat kenyataan menyalahkan BN atas masalah yang mereka tanggung.

“Mereka membuat secara melulu sehingga akhirnya wujud percanggahan pendapat di kalangan mereka sendiri kerana fakta menunjukkan sebaliknya.

“Itulah cara Pas berpolitik. Mereka politikkan semua isu bagi meraih sokongan rakyat walaupun sebagai kerajaan negeri, parti itu perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah bukan menuding jari kepada pihak lain,” katanya.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar kontrak pada tahun 1964.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers