PEKAN 30 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan krisis politik pembangkang terutama di Pulau Pinang kini berada pada tahap amat serius yang menggambarkan penolakan jelas terhadap kepimpinan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
Sambil menegaskan krisis dalaman itu tiada kaitan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku bukan perselisihan pendapat sebaliknya merupakan perbalahan dan pergolakan di kalangan parti-parti pembangkang.
''Nampaknya kedudukan di kalangan parti pembangkang khususnya di Pulau Pinang sudah sampai pada satu peringkat yang begitu serius. Ini bukan perselisihan pendapat tetapi perbalahan amat serius yang sedang bergolak dalam pakatan pembangkang.
''Perbalahan ini merupakan satu tanda bahawa telah hilang keyakinan sama sekali di kalangan pemimpin pembangkang terhadap apa yang dilakukan di peringkat negeri.
''Ini bukan dibuat oleh UMNO atau BN tetapi ini adalah perpecahan yang begitu serius dan terbuka sekali di kalangan parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Digital Pekan 1Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Najib mengulas krisis pakatan pembangkang yang semakin serius dan merebak ke Pulau Pinang apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim secara keras menyerang Guan Eng.
Menggambarkan Guan Eng sebagai diktator dan cauvinis, Zahrain yang merupakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang berkata, pakatan pembangkang perlu menghentikan sebarang tolak ansur dengan pemimpin itu setelah dia gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.
Najib yang juga Pengerusi BN menegaskan, krisis politik yang berlaku di Pulau Pinang menggambarkan wujudnya rasa tidak puas hati yang tidak dapat dibendung lagi di kalangan pemimpin pakatan pembangkang di negeri tersebut.
''Dasar dan pentadbiran kerajaan negeri menyebabkan sekumpulan pemimpin utama PKR mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai penolakan yang amat jelas terhadap apa yang dilakukan pimpinan sedia ada," jelasnya.
Perkara itu, tegas beliau, dibuktikan dengan peletakan jawatan beberapa pemimpin utama pembangkang termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim pada 7 Januari lalu.
''Setiausaha Agung PKR telah meletakkan jawatan dan selepas itu, di kalangan wakil Parlimen pun mereka bercanggah secara terbuka," katanya.
Najib tidak menolak kemungkinan krisis yang sedang melanda pakatan pembangkang itu akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain yang dikuasai pakatan pembangkang.
''Tidak dapat kita nafikan kesan dan tempiasnya mungkin menular ke tempat lain pula," katanya.
UTUSAN MALYSIA
0 comments:
Post a Comment