Photobucket

KEKEBALAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


Oleh : Haji Mahamad Naser bin Disa
~Melakukan Perubahan Minda Secara Menyeluruh Bagi Menerima Hakikat~


1. Kedaulatan Islam Telah Bertapak Kukuh di Alam Melayu.

Kegemilangan sejarah Negara bukanlah hanya bermula selepas kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957 atau semasa pembentukan Malaysia pada September 1963, malah kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu telah lama berdiri teguh sejak berabad-abad lamanya. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sejak kurun ke-12 lagi. Fakta ini diperteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum Syarak. Percubaan British untuk menjajah Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union pada tahun 1946 telah gagal apabila dibantah keras oleh orang Melayu ketika itu. Justeru itu, Negeri-Negeri Melayu terus bernaung di bawah perlindungan dan nasihat Residen British yang kemudiannya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Perlu disebut bahawa pada waktu itu, Raja-Raja Melayu terus berdaulat, manakala Residen dan Residen Jeneral British hanya berperanan sebagai penasihat.

Sebagai penasihat kepada Raja-raja Melayu, mereka telah memperkenalkan undang-undang dan sistem pentadbiran Inggeris di Negeri-Negeri Melayu bagi mentadbir hal-ehwal penduduk Tanah Melayu yang terdiri daripada bangsa Melayu sebagai penduduk asal dan pendatang Cina serta India yang ketika itu merupakan buruh di lombong-lombong bijih timah dan ladang-ladang getah yang dibawa masuk oleh British.

2. Bagi membentuk sebuah Negara Persekutuan yang berdaulat, Raja-Raja Melayu dan umat Islam telah menunjukkan sikap toleransi yang amat tinggi nilainya. Raja-Raja Melayu telah menyerahkan sebahagian besar daripada kedaulatan mereka kepada Persekutuan dengan melantik seorang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Persekutuan. Sebahagian besar daripada urusan pentadbiran pula diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan yang asalnya merupakan bidang kuasa Raja-raja sebagai pemerintah negeri berkenaan.

3. Satu perkara yang perlu disedari oleh generasi muda sekarang ialah ketika negara bebas dan merdeka daripada perlindungan British, Negara terus berhadapan dengan ancaman subversif komunis yang cuba untuk membawa masuk fahaman komunisme ke dalam negara ini. Namun begitu, dalam menghadapi ancaman berkenaan, sikap toleransi yang ditunjukkan oleh bangsa Melayu dan umat Islam telah mendapat penghargaan oleh para pemimpin kaum Cina dan India. Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan yang bertindak sebagai wakil rakyat masing-masing bagi kaum Cina dan India telah menyatakan kesyukuran dan terima kasih mereka atas pengorbanan orang Melayu yang telah bersedia menerima mereka sebagai warganegara. Petikan ucapan tersebut adalah seperti yang berikut :

(i) Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk “Tun Tan Answers Critics on Special Previleges” pada 30 April 1969, berkata :

“…Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.”.

(ii) Presiden MIC Merangkap Menteri Kerjaya Raya, Pos Dan Telekom, Tun V.T. Sambanthan berucap di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965 :

“…Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari Bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.”


Islam dan Syariah Perlu Terus Didaulatkan

Bagi meneruskan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan agama Islam di Tanah Melayu, semua bangsa dan etnik di Tanah Melayu telah bersetuju untuk menerima kemasukan Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan ini. Perkara 3(2) turut dimasukkan untuk menjamin hak-hak, keistimewaan dan kuasa prerogatif Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri masing-masing. Walaupun Islam dimartabatkan sebagai agama Negara, kebebasan beragama penganut-penganut agama lain serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing adalah terjamin. Dalam hubungan ini, Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi moden yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama telah bersepakat untuk memartabatkan Islam sebagai agama negara. Hal ini berbeza sama sekali dengan negara-negara seperti India dan Turki yang secara jelas dalam Perlembagaan mereka, mengisytiharkan bahawa mereka ialah negara sekular.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang berhujah bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular berdasarkan kes Che’ Omar bin Che’ Soh vs Public Prosecutor . Dalam kes ini, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa kedudukan Islam dalam perkara 3(1) hanyalah terpakai untuk tujuan “ceremonial” sahaja. Namun begitu, tidak sebagaimana yang sering dihujahkan oleh sesetengah pihak, Mahkamah Agung dalam kes tersebut tidak pernah memutuskan atau mengisytiharkan bahawa negara ini ialah sebuah negara sekular, sebaliknya Mahkamah Agung berpandangan bahawa undang-undang yang terpakai di Malaysia ialah undang-undang sekular kerana ia dibenarkan oleh Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan. Tafsiran terhadap Islam dalam kes itu juga dibuat mengikut fahaman Inggeris yang memisahkan antara pentadbiran Negara dengan hal-ehwal agama. Dalam kes-kes yang terkini, iaitu Lina Joy -lwn- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Dan Lain-Lain , mahkamah tertinggi Negara telah menerima tafsiran yang dibuat oleh al-Maududi, iaitu Islam bukan sahaja merupakan himpunan dogma dan ritual tetapi ia juga merupakan cara hidup yang lengkap yang merangkumi semua bidang kegiatan manusia; persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau juga kehakiman. Malah tiada sepatah pun perkataan “sekular” boleh ditemui dalam mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Desakan dan tuntutan sesetengah pihak untuk mentafsirkan Negara ini sebagai sekular pada hakikatnya hanya bertujuan membolehkan fahaman liberal dan bebas sebagaimana yang begitu popular di negara-negara maju dapat dibawa masuk ke Negara ini dengan mudah. Walaupun terdapat beberapa aspek yang positif daripada kemajuan yang dicapai oleh negara-negara tersebut, namun pada masa yang sama, kemajuan itu juga boleh mengakibatkan Negara terpaksa menerima amalan dan budaya liberal yang keterlaluan sifatnya serta bercanggah sama sekali dengan budaya beragama kita. Antaranya termasuklah perkahwinan dan hubungan jenis sesama jantina, hubungan tanpa nikah dan hak kebebasan yang melampau. Undang-undang yang berkuatkuasa mungkin terpaksa dipinda bagi mengesahkan amalan dan budaya asing itu di sisi undang-undang Negara. Namun begitu, dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Negara sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, maka segala bentuk amalan dan budaya yang bercanggah dengan prinsip Syariah telah dapat disekat daripada dibawa masuk ke Negara ini.

Undang-undang Common Law Inggeris dan Undang-undang Jenayah daripada India yang telah diperkenalkan secara berperingkat-peringkat melalui First Charter of Justice hingga Third Charter of Justice terus diwarisi sehinggalah kemerdekaan dicapai. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf penguatkuasaan undang-undang tersebut melalui Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan yang diperuntukkan di bawah Bahagian Peruntukan Sementara dan Peralihan (Temporary and Transitional Provisions). Undang-undang sedia ada sebelum merdeka terus berkuatkuasa dan ia tertakluk pada pengubahsuaian dan pindaan yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa. Manakala bidang kuasa Raja-Raja Melayu dalam hal-ehwal Islam yang diwarisi sejak turun-temurun termaktub dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Asas-Asas Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan

Antara asas-asas Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Syariah sebagai sumber perundangan Negara di sisi adalah seperti yang berikut :

i. Perkara 3(1) – Islam sebagai Agama Persekutuan.

Agama Islam telah dimartabatkan sebagai agama Persekutuan dengan memasukkan Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebarang dasar dan undang-undang yang dilaksanakan perlulah mengambilkira kedudukan Islam sebagai agama Negara.

Justeru itu, walaupun common law Inggeris sudah lama bertapak di negara ini, Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan memberikan ruang dan hak kepada pemerintah untuk menyesuaikan dan menyelaraskannya dengan Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, berdasarkan subseksyen 3(1) Akta Undang-Undang Sivil 1956, mahkamah di negara ini dibenarkan untuk mengubahsuai common law England dan kaedah-kaedah ekuiti mengikut keizinan keadaan Negeri-Negeri, penduduknya dan juga keadaan tempatan. Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim dalam bukunya bertajuk “Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia” menyatakan bahawa peruntukan tersebut sebenarnya memberi ruang kepada hakim-hakim untuk merujuk kepada undang-undang Islam dalam membuat pengubahsuaian tersebut. Namun, jarang-jarang sekali pengubahsuaian itu dibuat untuk memastikan pemakaian undang-undang Islam bagi orang Islam.

ii. Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memelihara agama Islam.

Bagi memelihara kesucian dan keutuhan Islam sebagai agama Negara, Perlembagaan Persekutuan meletakkan kewajipan kepada pemerintah sama ada Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman untuk memelihara agama Islam. Perkara ini terserlah dalam sumpah Ketua Eksekutif Utama Negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang diperuntukkan dalam Jadual Keempat kepada Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain YDPA bersumpah dengan lafaz : Wallahi; Wabillahi; Watallahi; dan seterusnya baginda bersumpah untuk memelihara pada setiap masa agama Islam. Selaku Ketua Eksekutif Utama bagi Negara ini, sudah menjadi kewajipan semua anggota Badan Eksekutif dan Pentadbiran tanpa mengira kaum dan agama untuk melaksanakan Sumpah YDPA ini.

iii. Undang-undang Negeri boleh digubal untuk menyekat pengembangan agama lain di kalangan orang Islam.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan bertujuan menjamin kesucian agama Islam dan umat Islam daripada dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain. Walaupun Perkara 11(1) membolehkan penganut agama lain mengamalkan dan menyebarkan agama masing-masing tetapi penyebaran itu tertakluk pada kawalan yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri yang diluluskan di bawah Perkara 11(4)Perlembagaan Persekutuan.

Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Di Bawah Kuasa Sultan

Selain sifat dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kuasa Raja-Raja Melayu dalam hal-ehwal pentadbiran agama Islam pula bersifat prerogatif dan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur politik. Dengan yang demikian, walau apa juga kecenderungan politik sesebuah Kerajaan negeri, ia tidak akan sama sekali menjejaskan kuasa prerogatif Yang DiPertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam hal-ehwal agama Islam di negeri masing-masing. Raja-raja Melayu dinasihati oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dalam hal yang berhubung dengan pentadbiran dan kemaslahatan umat Islam yang merupakan hak turun-temurun yang diwarisi sebelum kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Justeru itu, Kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama islam dan perkara-perkara yang melibatkan hal-ehwal Islam terus diwarisi dalam Perlembagaan.

• Penubuhan Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri melalui institusi fatwa bertanggungjawab untuk memelihara kesucian dan keutuhan hukum Syarak dan mana-mana pihak tidak boleh membuat keputusan berkenaan dengan hukum Syarak tanpa mendapatkan pandangan daripada mufti terlebih dahulu. Sebagai contoh, fatwa mufti daripada seluruh Negeri telah mengharamkan ajaran Qadiani kerana ia didapati menyelewengkan ajaran Islam yang suci walaupun pada asalnya ajaran tersebut digalakkan oleh British dan perlu dibenarkan atas alasan kebebasan beragama. Selain itu, nikah mutaah (kontrak) yang diasaskan oleh fahaman Syiah turut diharamkan oleh para mufti kerana menyimpang daripada amalan Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia; dan

• Di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Sultan dan Majlis Agama Islam Negeri untuk menubuhkan Mahkamah Syariah di Negeri masing-masing. Butiran 1, Senarai Negeri memperuntukkan “…the constitution, organization and procedure of Syariah courts which shall have jurisdiction only over persons professing the religion of Islam and in respect of any of the matters included in this paragraph…”. Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh mengganggu perintah dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

• Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri boleh menubuhkan institusi agama Islam dan menyediakan peruntukan kewangan untuk pembiayaannya.

• Walaupun diskriminasi atas alasan agama adalah dilarang, namun Perlembagaan Persekutuan secara nyata membenarkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah Perkara 12(2) untuk menubuhkan dan menyediakan sejumlah wang bagi menyelenggara institusi-institusi Islam. Peruntukan tersebut adalah seperti yang berikut :

• (2) “… and there shall be no discrimination on the ground only of religion in any law relating to such institutions or in the administration of any such law; but it shall be lawful for the Federation or a State to establish or maintain or assist in establishing or maintaining Islamic institutions or provide or assist in providing instruction in the religion of Islam and incur such expenditure as may be necessary for the purpose.”.

• Melalui peruntukan itu, adalah sah bagi Kerajaan Persekutuan dan Negeri menubuhkan dan membantu institusi-institusi Islam seperti JAKIM, JKSM, JAWHAR, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, masjid-masjid, sekolah-sekolah agama, kolej, universiti Islam dan sebagainya. Hak tersebut tidak boleh dipertikaikan oleh penganut-penganut agama lain atas alasan diskriminasi kerana Perlembagaan Persekutuan sendiri membenarkan (it shall be lawful) keistimewaan yang diberikan kepada institusi Islam sebagai agama bagi Persekutuan;

Penyelarasan Di Peringkat Persekutuan

Pewujudan Majlis Raja-Raja melalui Perkara 38, Bahagian IV, Perlembagaan Persekutuan sebagai badan penyelaras dan rujukan tertinggi dalam hal-ehwal yang melibatkan kepentingan agama Islam. Sebagai contoh, Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) kali ke-127 pada 29 Jun 2009 baru-baru ini telah menangguhkan pindaan terhadap Akta 505, Akta 303 dan Akta 164 bagi memastikan keseluruhan cadangan pindaan yang menyentuh kepentingan umat Islam dibincangkan terlebih dahulu dengan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

10.
11. Walaupun Negara ini meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, tidak semestinya semua undang-undang perlu dilabelkan dengan “Islam” atau “Syariah”. Apa yang penting ialah prinsip undang-undang yang digubal itu tidak bercanggah dengan hukum Syarak atau maqasid Syariah (higher objective of Islamic Law). Bagi tujuan tersebut, usaha mengharmonikan undang-undang sedia ada supaya selaras dengan maqasid Syariah perlu digiatkan supaya undang-undang yang berkuatkuasa di Negara ini bersifat patuh Syariah (Syariah compliant). Langkah tersebut juga adalah selaras dengan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan pihak berkuasa membuat pengubahsuaian undang-undang untuk dikuatkuasakan dalam Negara yang merdeka ini.

Kesimpulan dan Penutup

15. Sebagai Agama bagi Persekutuan, Islam terus dipelihara selaras dengan peruntukkan undang-undang Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Tubuh Negeri-negeri dan Undang-undang Negeri. Apa yang perlu dipastikan oleh pentadbir Negara dan anggota perkhidmatan awam ialah, dalam apa juga langkah pembentukan dasar dan undang-undang Negara, ia perlu selaras dengan kedudukan agama Negara tersebut. Tanggungjawab untuk memelihara agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam sumpah YDPA merupakan amanah yang mesti dilaksanakan oleh semua pihak dalam urusan pemerintahan Negara ini, tanpa mengira kaum dan agama. Sebarang usaha daripada rakyat Malaysia sendiri untuk merendah-rendahkan kedudukan agama Islam boleh dianggap sebagai suatu penghinaan kepada Perlembagaan dan Negara. Semua pihak perlu mengakui hakikat kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Islam yang terkandung dalam sejarah Negara ini yang diwarisi secara turun-temurun. Ia perlu dihayati dan dipertahankan kerana sesuatu bangsa yang melupai sejarah bangsanya sendiri pasti kelak akan dihukum disebabkan kealpaan mereka itu.

Sumber : ADNAN SEMAN

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers