Blog Aspirasi Rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR 5 Okt. – Para pemimpin politik bukan Islam tidak boleh sewenang- wenangnya mempergunakan ayat suci al-Quran untuk kepentingan politik mereka.
Perkara itu dizahirkan oleh beberapa tokoh agama apabila Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, sanggup bersekongkol dengan ahli politik bukan Islam bagi meraih sokongan rakyat.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berpendapat, Pas seolah-olah turut sama mempermainkan al-Quran kerana membenarkan ahli politik bukan Islam menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramah mereka.
‘‘Perkara itu sama seperti menghina Islam dan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat di negara ini.
‘‘Kita perlu ingat bahawa al-Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam dan ayat suci al-Quran tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, pemimpin bukan Islam pakatan pembangkang menggunakan ayat suci al-Quran di atas pentas ceramah Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Dalam ceramah itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa segan silu menggunakan ayat suci al-Quran bagi menarik perhatian penyokong parti itu.
Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis daripada DAP, Nga Kor Ming juga melakukan perbuatan yang sama dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.
Harussani mengingatkan, jika dibiarkan perkara itu berlarutan, ia boleh mencemarkan imej Islam.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut menegaskan, kitab suci al-Quran tidak boleh dipermain dan diketawakan untuk tujuan politik murahan.
Katanya, tanggungjawab memelihara kesucian al-Quran itu terletak pada bahu umat Islam dan al-Quran menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa.
‘‘Kita sebagai umat Islam perlu menjaga maruah Islam, jangan sampai meletakkan al-Quran itu di tempat yang rendah sekali.
‘‘Ayat al-Quran bukannya sebagai bahan ketawa dan untuk dihina tetapi kita sebagai umat Islam perlu menjaga dan memeliharanya sehingga sesiapa yang memegangnya mesti ada wuduk,” katanya.
Nooh yang juga bekas Mufti Johor memberitahu, al-Quran sepatutnya digunakan oleh para ulama dan ilmuwan Islam untuk menerangkan keadilan, kesederhanaan dan keindahan Islam kepada orang bukan Islam dengan harapan mereka menerima Islam tanpa paksaan.
‘‘Tetapi bukan sebaliknya, iaitu orang bukan Islam pula merujuk pada al-Quran dan disampaikan pula kepada orang Islam. Itu sudah terbalik,” tambahnya.
UTUSAN MALAYSIA
PORT DICKSON 5 Okt. – Tidak salah Ahli Parlimen Bagan Serai, N. Gobalakrishnan menggunakan petikan ayat suci al-Quran ketika berkempen kerana ia bertujuan untuk menguatkan hujah sewaktu berceramah.
Itu alasan yang diberikan oleh Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub ketika mempertahankan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang memetik ayat dari surah al Imran dalam ucapannya di markas Pas di sini malam kelmarin.
Menurut Salehuddin, tindakan itu tidak salah malah bukannya sesuatu yang bertentangan dalam Islam kerana apa yang dilakukan oleh Gobalakrishnan itu bertujuan untuk mempertahan serta menguatkan hujahnya.
Justeru beliau berkata, golongan yang menyelar tindakan Gobalakrishnan kerana tindakannya memetik ayat-ayat suci al-Quran ketika berkempen disifatkan sebagai mereka yang berfikiran lapuk dan terkebelakang.
‘‘Salah ke Gobalakrishnan memetik beberapa ayat al-Quran di dalam ceramahnya? Pas melihat ini bukannya satu kesalahan kerana tujuan Gobalakrishnan adalah untuk menguatkan hujahnya ketika memberi ceramah.
‘‘Di Mesir, rakyatnya yang bukan beragama Islam antaranya masyarakat Yahudi sering memetik ayat-ayat suci al-Quran.
‘‘Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang orang yang bukan Islam berbuat demikian,’’ katanya di markas Pas Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di sini hari ini.
UTUSAN MALAYSIA
Katanya, ada juga dalam kalangan mereka sanggup menghalalkan sesuatu yang dulunya mereka anggap haram semata-mata untuk memuaskan hati musuh yang kini menjadi rakan dalam pakatan pembangkang.
"Dulu Pas kata kerjasama dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang bukan sahaja mereka bekerjasama dengan bukan Islam, tapi dia kata ternak babi pun tak apa, tapi orang Islam tak boleh makan babi.
"Dia (Pas) ambil tafsiran dalam al-Quran kata (orang Islam) tak boleh makan babi, dia tak kata tak boleh ternak (babi). Kalau dah ambil tafsiran macam tu, maknanya kita boleh ternak, kita boleh jual babi, kita boleh masak babi, tapi jangan makan, fasal nak setuju juga dengan orang ini, kita sanggup tukar pendirian kita sama sekali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan wacana bertajuk Dari Minda Tun, Ketuanan Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, kampus Dungun, di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.
Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak mampu mempunyai pemimpin yang tidak berpendirian dan hanya mencari populariti diri.
"Kalau orang macam ini jadi pemimpin, susahlah," katanya.
Mengulas masa depan politik UMNO selepas ini, beliau berkata parti itu masih relevan, namun pemimpin dan anggota termasuk dari akar umbinya perlu bijak dan berani dalam bertindak.
"Kalau pemimpin buat sesuatu yang tak baik, mereka perlu suarakan... Saya sangat menyambut baik pelantikan Senator Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Sepatutnya ada lebih ramai dilantik dari luar parti berbanding dari dalam parti untuk pegang jawatan," katanya.
Berhubung kemelut yang kini melanda UMNO Terengganu, beliau berkata, pimpinan tertinggi parti perlu menyelesaikan rasa tidak puas hati yang ditimbulkan pihak-pihak terlibat bagi mengelak wujudnya puak-puak berbeza dalam UMNO di negeri itu.
Dalam ucapannya pula, Dr. Mahathir menyeru pelajar bumiputera untuk lebih berani bersaing dengan kaum lain, termasuk memilih untuk belajar di institusi pengajian tinggi swasta yang tidak didominasi oleh bumiputera seperti UiTM.
BERNAMA
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan dakwaan Pas bahawa hanya 1,200 pemilih pos sahaja yang berada di kem yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berbanding 4,604 yang berdaftar kerana sudah pencen atau berkhidmat di luar kawasan sebagai tidak benar.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kesemua pemilih pos yang diwartakan itu ialah mereka yang direkodkan Kementerian Pertahanan sebagai petugas di kem berkenaan.
Katanya, dalam hal ini Pas tidak boleh samakan seseorang tentera yang berdaftar sebagai pemilih pos dengan pemilih biasa kerana jenis pekerjaan itu memerlukan mereka berkhidmat di luar kem yang didaftarkan seperti menjalani latihan di tempat lain.
''Takkanlah kalau tentera laut yang didaftarkan tempat bekerja di kem Lumut, dia mesti berada sepanjang masa di kem. Sebagai tentera laut mungkin dia sedang berlayar.
''Begitu juga dengan Kem Sri Rusa. Mereka ada yang jalani latihan atau bersama pasukan ditempatkan di kawasan di luar kem untuk tugas tertentu. Tak kan askar kena duduk dalam kem saja.
''Mengenai dakwaan ada pemilih pos yang sudah lama bersara juga tidak betul, kita kemas kini rekod sebelum warta pada September lalu. Pelik juga kenapa mereka tak faham kerana ini bukan baru kita gunakan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbarnya pagi ini mendakwa hanya 1,200 pemilih pos yang sebenarnya mempunyai 'kehadiran fizikal' atau bertugas di kem dalam DUN Bagan Pinang.
Menurut Mustafa, lebih 3,000 yang lain sama ada sudah bersara atau pun sudah tidak lagi berkhidmat di kem berkenaan.
Sementara itu, Wan Ahmad menjelaskan undang- undang pilihan raya menetapkan daerah mengundi bagi pemilih pos ditentukan mengikut kem mana seseorang tentera itu didaftarkan oleh Kementerian Pertahanan.
''Mungkin ketika ini dia mengikut kontinjen bertugas di Sarawak tetapi didaftarkan bekerja di kem di Bagan Pinang, maka dia layak. Ini sama juga yang dilakukan di Wangsa Maju, Gemas, Lumut dan sebagainya.
''Bukannya baru kita guna kaedah ini. Jadi apa yang nak dipelikkan pula kali ini,'' jelasnya.
Pada masa sama Wan Ahmad menyifatkan kenyataan Mustafa yang mempersoalkan bendera UMNO dibenar dipasang sedangkan yang bertanding adalah BN hanyalah sebagai satu usaha untuk mengelirukan rakyat.
Menurutnya, peraturan pilihan raya adalah jelas kerana BN adalah gabungan berdaftar dan sehubungan itu bendera parti komponen boleh dinaikkan manakala pakatan pembangkang tak berdaftar.
''Sebab itu hanya Pas saja dibenarkan. Kalau pakatan berdaftar sebagai satu gabungan macam BN dengan setiap simbol parti komponen didaftarkan maka pakatan juga boleh naikkan bendera pakatan beserta bendera simbol parti komponen mereka walaupun yang bertanding itu Pas.
''Saya pelik sikit, macam sekadar nak timbul kekeliruan kerana yang bercakap itu sudah berpuluh tahun terlibat dalam pilihan raya. Saya percaya beliau lebih daripada faham. Harap mereka patuh.
''Tapi kalau nak naikkan juga, lepas ini pakatan kena daftar. Kalau tak daftar, parti yang tak bertanding tetap tak boleh naikkan simbol mereka, kita tak akan berkompromi, salah kita ambil tindakan,'' tegasnya.
UTUSAN MALAYSIA
PORT DICKSON 2 Okt. – Ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Teluk Kemang, Shahruddin Abd. Hamid, 52, hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu bagi membolehkannya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sebagai calon Bebas.
Serentak itu, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Penaja PKR DUN Lukut serta keahlian parti berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi menyahut cabaran Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayob supaya beliau meletakkan jawatan dalam PKR.
‘‘Dengan keputusan ini saya akan hadir pada hari penamaan calon esok bersama penyokong di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebagai calon Bebas.
‘‘Hari ini saya umumkan secara rasmi keluar daripada PKR kerana saya mendapat petunjuk bahawa saya perlu bertanding pada pilihan raya kecil kali ini,” katanya pada pemberita di sini hari ini.
Shahruddin yang juga seorang peniaga sebelum ini merupakan pegawai di pejabat Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin yang juga Pengerusi Perhubungan PKR negeri.
Beliau sebelum ini telah memberikan komitmen untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan memecat Shahruddin sekiranya meneruskan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu.
Dalam pada itu, Shahruddin yang juga anak jati Bagan Pinang berkata, berdasarkan pengamatannya dijangka 30 peratus daripada pengundi berdaftar DUN Bagan Pinang akan berpihak kepadanya.
Ujarnya, daripada jumlah itu, 20 peratus merupakan pengundi atas pagar, lima peratus penyokong pakatan pembangkang dan lima peratus lagi penyokong Barisan Nasional (BN).
‘‘Mengapa saya kata saya boleh mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong pakatan pembangkang dan BN. Ini disebabkan kedua-duanya bergolak. Pembangkang pun bergolak, BN juga bergolak.
‘‘Akan ada pengundi yang tidak memilih mereka.
Saya perlu mengambil kesempatan ini untuk menarik mereka mengundi saya,” katanya.
UTUSAN MALAYSIA