Photobucket

Al-Quran bukan mainan politik

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Para pemimpin politik bukan Islam tidak boleh sewenang- wenangnya mempergunakan ayat suci al-Quran untuk kepentingan politik mereka.

Perkara itu dizahirkan oleh beberapa tokoh agama apabila Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, sanggup bersekongkol dengan ahli politik bukan Islam bagi meraih sokongan rakyat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berpendapat, Pas seolah-olah turut sama mempermainkan al-Quran kerana membenarkan ahli politik bukan Islam menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramah mereka.

‘‘Perkara itu sama seperti menghina Islam dan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat di negara ini.

‘‘Kita perlu ingat bahawa al-Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam dan ayat suci al-Quran tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, pemimpin bukan Islam pakatan pembangkang menggunakan ayat suci al-Quran di atas pentas ceramah Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Dalam ceramah itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa segan silu menggunakan ayat suci al-Quran bagi menarik perhatian penyokong parti itu.

Pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis daripada DAP, Nga Kor Ming juga melakukan perbuatan yang sama dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.

Harussani mengingatkan, jika dibiarkan perkara itu berlarutan, ia boleh mencemarkan imej Islam.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut menegaskan, kitab suci al-Quran tidak boleh dipermain dan diketawakan untuk tujuan politik murahan.

Katanya, tanggungjawab memelihara kesucian al-Quran itu terletak pada bahu umat Islam dan al-Quran menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa.

‘‘Kita sebagai umat Islam perlu menjaga maruah Islam, jangan sampai meletakkan al-Quran itu di tempat yang rendah sekali.

‘‘Ayat al-Quran bukannya sebagai bahan ketawa dan untuk dihina tetapi kita sebagai umat Islam perlu menjaga dan memeliharanya sehingga sesiapa yang memegangnya mesti ada wuduk,” katanya.

Nooh yang juga bekas Mufti Johor memberitahu, al-Quran sepatutnya digunakan oleh para ulama dan ilmuwan Islam untuk menerangkan keadilan, kesederhanaan dan keindahan Islam kepada orang bukan Islam dengan harapan mereka menerima Islam tanpa paksaan.

‘‘Tetapi bukan sebaliknya, iaitu orang bukan Islam pula merujuk pada al-Quran dan disampaikan pula kepada orang Islam. Itu sudah terbalik,” tambahnya.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers