Photobucket

Dakwaan Pas mengenai pemilih pos salah - SPR

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan dakwaan Pas bahawa hanya 1,200 pemilih pos sahaja yang berada di kem yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berbanding 4,604 yang berdaftar kerana sudah pencen atau berkhidmat di luar kawasan sebagai tidak benar.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kesemua pemilih pos yang diwartakan itu ialah mereka yang direkodkan Kementerian Pertahanan sebagai petugas di kem berkenaan.

Katanya, dalam hal ini Pas tidak boleh samakan seseorang tentera yang berdaftar sebagai pemilih pos dengan pemilih biasa kerana jenis pekerjaan itu memerlukan mereka berkhidmat di luar kem yang didaftarkan seperti menjalani latihan di tempat lain.

''Takkanlah kalau tentera laut yang didaftarkan tempat bekerja di kem Lumut, dia mesti berada sepanjang masa di kem. Sebagai tentera laut mungkin dia sedang berlayar.

''Begitu juga dengan Kem Sri Rusa. Mereka ada yang jalani latihan atau bersama pasukan ditempatkan di kawasan di luar kem untuk tugas tertentu. Tak kan askar kena duduk dalam kem saja.

''Mengenai dakwaan ada pemilih pos yang sudah lama bersara juga tidak betul, kita kemas kini rekod sebelum warta pada September lalu. Pelik juga kenapa mereka tak faham kerana ini bukan baru kita gunakan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbarnya pagi ini mendakwa hanya 1,200 pemilih pos yang sebenarnya mempunyai 'kehadiran fizikal' atau bertugas di kem dalam DUN Bagan Pinang.

Menurut Mustafa, lebih 3,000 yang lain sama ada sudah bersara atau pun sudah tidak lagi berkhidmat di kem berkenaan.

Sementara itu, Wan Ahmad menjelaskan undang- undang pilihan raya menetapkan daerah mengundi bagi pemilih pos ditentukan mengikut kem mana seseorang tentera itu didaftarkan oleh Kementerian Pertahanan.

''Mungkin ketika ini dia mengikut kontinjen bertugas di Sarawak tetapi didaftarkan bekerja di kem di Bagan Pinang, maka dia layak. Ini sama juga yang dilakukan di Wangsa Maju, Gemas, Lumut dan sebagainya.

''Bukannya baru kita guna kaedah ini. Jadi apa yang nak dipelikkan pula kali ini,'' jelasnya.

Pada masa sama Wan Ahmad menyifatkan kenyataan Mustafa yang mempersoalkan bendera UMNO dibenar dipasang sedangkan yang bertanding adalah BN hanyalah sebagai satu usaha untuk mengelirukan rakyat.

Menurutnya, peraturan pilihan raya adalah jelas kerana BN adalah gabungan berdaftar dan sehubungan itu bendera parti komponen boleh dinaikkan manakala pakatan pembangkang tak berdaftar.

''Sebab itu hanya Pas saja dibenarkan. Kalau pakatan berdaftar sebagai satu gabungan macam BN dengan setiap simbol parti komponen didaftarkan maka pakatan juga boleh naikkan bendera pakatan beserta bendera simbol parti komponen mereka walaupun yang bertanding itu Pas.

''Saya pelik sikit, macam sekadar nak timbul kekeliruan kerana yang bercakap itu sudah berpuluh tahun terlibat dalam pilihan raya. Saya percaya beliau lebih daripada faham. Harap mereka patuh.

''Tapi kalau nak naikkan juga, lepas ini pakatan kena daftar. Kalau tak daftar, parti yang tak bertanding tetap tak boleh naikkan simbol mereka, kita tak akan berkompromi, salah kita ambil tindakan,'' tegasnya.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers