Photobucket

Isa menang majoriti besar

PORT DICKSON 11 Okt. - Penerimaan pengundi di Bagan Pinang terhadap konsep 1Malaysia merupakan salah satu faktor yang membantu calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan majoriti besar hari ini.

Menurut Mohd. Isa, beliau mengakui bahawa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah berjaya mengembalikan kepercayaan dan sokongan semua kaum khususnya Cina dan India terhadap BN.

''Pada pandangan saya dengan keputusan ini, BN telah mula mendapat sokongan dari semua kaum selaras dengan kosep 1Malaysia, di mana penduduk di Bagan Pinang secara majoritinya yang terdiri daripada Melayu, India dan Cina telah kembali kepada BN.

''Saya harap ini menjadi satu permulaan baik supaya seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pemimpin negara dalam menguruskan negara ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman penjumlahan rasmi pengundian Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini malam ini.

Kata Mohd. Isa, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pengundi Bagan Pinang di atas kejayaan tersebut.

''Terima kasih kepada semua pengundi. Saya akan bekerja keras di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan seluruh negara. Ia juga menunjukkan penduduk Bagan Pinang menerima konsep dan gagasan 1Malaysia.

''Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera yang telah membantu saya meraih kejayaan ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peningkatan pada undian pos di kalangan anggota tentera terhadap dirinya, beliau memberitahu, secara jelas anggota tentera telah menterjemahkan sokongan mereka kepada kerajaan.

''Saya nampak menerusi undi pos pihak tentera, ini secara tidak langsung menyaksikan bahawa berdiri teguh untuk terus menyokong kerajaan ," ujar beliau.

Sementara itu, melalui kemenangan ini, Mohd. Isa berjanji akan menunaikan segala kepercayaan yang telah diberikan terhadap beliau selain mengalas amanat rakyat setempat.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers