Photobucket

Shahruddin isytihar keluar PKR

PORT DICKSON 2 Okt. – Ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Teluk Kemang, Shahruddin Abd. Hamid, 52, hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu bagi membolehkannya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sebagai calon Bebas.

Serentak itu, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Penaja PKR DUN Lukut serta keahlian parti berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi menyahut cabaran Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayob supaya beliau meletakkan jawatan dalam PKR.

‘‘Dengan keputusan ini saya akan hadir pada hari penamaan calon esok bersama penyokong di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebagai calon Bebas.

‘‘Hari ini saya umumkan secara rasmi keluar daripada PKR kerana saya mendapat petunjuk bahawa saya perlu bertanding pada pilihan raya kecil kali ini,” katanya pada pemberita di sini hari ini.

Shahruddin yang juga seorang peniaga sebelum ini merupakan pegawai di pejabat Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin yang juga Pengerusi Perhubungan PKR negeri.

Beliau sebelum ini telah memberikan komitmen untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan memecat Shahruddin sekiranya meneruskan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Shahruddin yang juga anak jati Bagan Pinang berkata, berdasarkan pengamatannya dijangka 30 peratus daripada pengundi berdaftar DUN Bagan Pinang akan berpihak kepadanya.

Ujarnya, daripada jumlah itu, 20 peratus merupakan pengundi atas pagar, lima peratus penyokong pakatan pembangkang dan lima peratus lagi penyokong Barisan Nasional (BN).

‘‘Mengapa saya kata saya boleh mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong pakatan pembangkang dan BN. Ini disebabkan kedua-duanya bergolak. Pembangkang pun bergolak, BN juga bergolak.

‘‘Akan ada pengundi yang tidak memilih mereka.

Saya perlu mengambil kesempatan ini untuk menarik mereka mengundi saya,” katanya.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers