Photobucket

Tiada tempoh bertenang

PORT DICKSON 11 Okt. - Tempoh bertenang pada hari mengundi pada setiap pilihan raya tidak berlaku pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang hari ini apabila pihak pembangkang terus berkempen tanpa menghiraukan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kempen yang berbentuk provokasi itu turut mencetuskan perang mulut dan pergaduhan antara kedua-dua pihak bertanding hingga menakutkan pengundi.

Bermula daripada tengah malam tadi iaitu selepas kempen tamat dan bermulanya tempoh bertenang, pergaduhan demi pergaduhan berlaku akibat daripada provokasi itu.

Perkara itu disahkan oleh pihak polis apabila menerima 13 laporan mengenai pergaduhan hari ini dengan tujuh daripadanya telah dibuka kertas siasatan.

Keadaan itu sedikit sebanyak telah mengganggu perjalanan proses pembuangan undi walaupun SPR telah memberi ingatan kepada semua parti yang bertanding supaya tidak berkempen pada hari pengundian kerana ia merupakan satu kesalahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas perkembangan itu berkata, kerajaan sedia menimbang mengetatkan peraturan sedia ada supaya hari pengundian benar-benar menepati konsep tempoh bertenang.

''Mungkin peraturan sedia ada tidak cukup ketat. Ini kita akan bincang lebih lanjut dengan agensi berkaitan seperti SPR, polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selepas Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawai kanan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini hari ini.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia di beberapa peti undi mendapati Pas terus berkempen untuk menarik sokongan pengundi.

Lebih malang lagi berlaku provokasi daripada pihak pembangkang yang mencetuskan kekecohan serta ketegangan hingga terdapat satu kes mendatangkan kecederaan kepada anggota polis.

Dalam perkembangan sama Muhyiddin berkata, mengikut sistem demokrasi, hari mengundi sepatutnya diberikan peluang seluas-luasnya kepada pengundi untuk memilih calon wakil rakyat mereka tanpa sebarang gangguan.

''Kita sudah berkempen lapan hari dan dalam tempoh itu kita berusaha menarik pengundi. Hari ini kita sepatutnya memberi peluang kepada pengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka tanpa perlu diganggu.

''Tambahan pula waktu berkempen telah tamat tengah malam tadi yang saya fikir ia wajib dipatuhi oleh semua pihak. Hari mengundi ialah hari aman dan hari tenteram yang seharusnya bebas daripada bahan-bahan kempen," katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyelar pihak pembangkang yang sering melanggar peraturan pada setiap kali pilihan raya kecil.

''Inilah Pas. Standard format Pas ini kalau nak bertanding dia bawa semua bala tentera. Mereka buka warung tanpa mengendahkan peraturan. Begitu juga anggota lain yang mereka telah tentukan tugas masing-masing. Saya pun hairan dengan sikap mereka ini.

''Apa yang mereka lakukan ini langsung tidak mencerminkan adat rakyat Malaysia sebenar ," katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan pemimpin Pas yang membiarkan ahli-ahli mereka melanggar undang-undang sesuka hati.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers