Photobucket

Bersih 3.0 Tidak Munasabah

KUALA LUMPUR – Hasrat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk sekali lagi turun ke jalanan pada 28 April ini dianggap satu tindakan yang tidak munasabah. 

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mereka seharusnya memberi ruang terlebih dahulu kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti seterusnya melaksanakan 22 cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. 

“Cadangan PSC itu kita tidak sempat laksanakan pun, jika setelah beberapa ketika cadangan itu dilaporkan, tetapi SPR tidak ambil tindakan atau kabinet tidak ambil tindakan, maka pada masa itu kalau mahu buat (perhimpunan) pun mungkin ada sebab. 

“Bagaimanapun, PSC baru sahaja membentangkan syor tersebut di Parlimen semalam, esok dah umum untuk menganjurkan Bersih 3.0, pada saya ia tidak begitu munasabah,’’ katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Keusahawanan Sosial (SVC) antara universiti anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini hari ini. 

Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk sekali lagi turun ke jalanan sekiranya cadangan mereka mengenai reformasi pilihan raya gagal dilaksanakan oleh pihak berkuasa. 

Bagiamanapun, kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan kesemua 22 syor PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya yang antara lain bersetuju pembersihan daftar pemilih dibuat secara berterusan serta akses media yang bebas dan saksama kepada semua parti politik. 

Ia diwujudkan sebagai sebahagian daripada program transformasi politik di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menambah baik sistem pilihan raya negara agar bebas, adil dan saksama. 

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, walaupun rakyat mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, namun ia bukan satu cara yang baik bagi pihak penganjur Bersih untuk menyuarakan tuntutan mereka kerana ia telah pun dibuat dan diterima menerusi penubuhan PSC. 

Katanya, kabinet juga berkemungkinan akan menubuhkan satu jawatankuasa memantau pelaksanaan syor PSC tersebut setelah ia bakal dibincangkan pada mesyuarat kabinet esok. 

“Saya tidak nampak ada alasan kukuh atau sebab munasabah kenapa perlu berhimpun sekali lagi untuk Bersih 3.0 yang difahamkan pada 28 April ini,’’ katanya. 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers