Photobucket

TERKINI: Resolusi Penyenaraian Felda Di Bursa Malaysia Diluluskan!

Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) hari ini meluluskan resolusi berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia Mei depan.

FGVH dimiliki 100 peratus oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mana 49 peratus pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.

Manakala, KPF yang dianggotai oleh kira-kira 112,627 peneroka dan 23,000 pekerja Felda pula memiliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam Felda Holdings.

Sebanyak 1,110 undi bersetuju, tidak bersetuju (120), undi rosak (5) dan tidak kembalikan borang (15).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di Kuantan pada 2 April lalu menolak permohonan injunksi oleh lapan peneroka Felda di Pahang bagi menghalang Koperasi KPF daripada melupuskan ekuitinya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada FGVH.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam kamarnya menolak injunksi tersebut dengan kos yang akan ditaksir oleh Timbalan Pendaftar.

Permohonan tersebut ditolak atas beberapa sebab antaranya ialah Mesyuarat Lembaga Pengarah KPF yang dibuat pada 22 Februari lalu hanya satu perbincangan dan bukan satu keputusan.

Selain itu mahkamah juga berkata dakwaan peneroka terbabit hanya satu spekulasi dan khabar angin sebab tidak dapat dibuktikan.

Mahkamah juga berpendapat bahawa isu itu seharusnya dirujuk ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kerana berada di bawah Seksyen 82 (1) atau 82 (2) Akta Koperasi 1993.

Penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia perlu untuk memastikan Felda kekal bersaing dengan negara jiran terutama Indonesia yang telah mula membangunkan industri kelapa sawit mereka membabitkan keluasan tanah hampir satu bilion hektar.

Keluasan tanah di negara itu sangat besar dan menguntungkan berbanding hanya kira-kira 800,000 hektar di negara ini, justeru langkah alternatif perlu ada agar Malaysia mampu bertahan dan bersaing dalam industri ini.

Sebagai pengeluar utama industri sawit di dunia, Felda mempunyai wang yang banyak tapi jumlah itu tidak mencukupi untuk terus bersaing pada masa akan datang.

Usaha meniagakan tanah seluas 350,000 hektar milik Felda Plantation ke dalam pasaran saham adalah langkah menguntungkan, malah banyak pihak sudah bersedia untuk membeli saham itu. -

Yang penting, tiada seinci pun daripada 500,000 hektar tanah peneroka akan diambil bagi tujuan penyenaraian FGHV dan kepentingan mereka akan terus dilindungi sebaik sahaja FGVH menjadi syarikat senaraian awam.

Penyenaraian FGVH dan pewujudan satu daripada entiti perladangan terbesar dunia merupakan matlamat negara yang amat penting dengan objektif memberikan pulangan kewangan jangka panjang yang kukuh untuk stafnya, peneroka dan keluarga mereka

Abdullah Rumani (mynewshub.my)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers