Pada 3 April 2009, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dalam satu proses peralihan kuasa yang lancar oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika itu ramai yang tertanya-tanya apakah yang mampu dilakukan oleh Najib dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional setelah pilihan raya umum ke 12 menunjukkan sokongan terhadap parti itu jatuh merudum.
Lebih daripada itu, kita juga tertanya-tanya, apakah bentuk perubahan yang mahu dilakukan beliau apatah lagi dalam suasana politik dan ekonomi global yang dilihat tidak begitu memberi kelebihan pada anak mantan Perdana Menteri yang kedua ini.
Namun setelah tiga tahun, ‘report card’ Najib nampaknya telah mencatatkan angka yang begitu cemerlang, bukan saja daripada segi prestasi, tetapi juga dari segi pencapaian yang beliau miliki.
Tanpa berlengah, sebaik saja mengambil alih kerusi ‘panas’ tersebut, Najib awal-awal lagi telah memulakan pentadbiran ini dengan menggariskan falsafah 1Malaysia… Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekali gus demokrasi yang berfungsi.
Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini berpayung pada Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020.
Lebih membanggakan, di bawah kepimpinan beliau, kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan trend yang meningkat.
Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang enam kali ganda kepada RM29 bilion pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia.
Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada RM21.2 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2011 berbanding RM12.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2010.
Pada tahun 2012, pelaburan swasta berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik.
Penat lelah Najib semakin berbaloi apabila asas ekonomi negara kekal utuh.
Sistem kewangan dan perbankan negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8 peratus, jauh melebihi paras keperluan lapan peratus dalam piawaian antarabangsa.
Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat RM414.5 bilion pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek.
Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada RM28,725 pada tahun 2011 berbanding RM26,175 pada tahun 2010.
Dalam usaha bagi membasmi kemiskinan, Najib juga telah memperkenalkan dasar-dasar dan program-program yang berkaitan transformasi luar bandar yang menggariskan pendekatan strategik bagi membuka ruang dan kaedah baru meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar termasuk Orang Asli dan etnik minoriti di Sabah dan Sarawak.
Antara pendekatan ini adalah pewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar, yang pertama di Gopeng, Perak sebagai pusat integrasi perkhidmatan.
Selain daripada itu, FELDA turut melaksanakan program meningkatkan lagi taraf sosioekonomi generasi kedua dan ketiga peneroka.
Najib juga tidak lupa dalam mewujudkan kesejahteraan dan kebajikan segenap lapisan masyarakat meliputi golongan wanita, warga emas, kanak-kanak, remaja, orang kurang upaya dan sebagainya.
Bantuan kebajikan Kerajaan dijenamakan semula sebagai Kebajikan Rakyat 1Malaysia yang lebih holistik.
Di bawah program ini, lima ratus ribu orang warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak dan mereka yang memerlukan mendapat manfaat yang melibatkan satu peruntukan kewangan yang besar.
Menyedari keperluan perumahan untuk rakyat, Najib telah menggubal Dasar Perumahan Negara dengan matlamat menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa dan mampu dimiliki oleh rakyat.
Di bawah kepimpinannya juga, kerajaan telah meneruskan pelaksanaan Program PerumahanRakyat, Program Perumahan Awam, Program Bantuan Rumah serta Program Rumah Mesra Rakyat, di samping melaksanakan pelbagai program baru seperti Skim Rumah Pertamaku dan Perumahan Rakyat 1Malaysia.
Dari segi pendidikan, Najib mengorak langkah dengan menyediakan pendidikan percuma untuk membolehkan setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang dan taraf sosioekonomi, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Langkah ini bermula dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak melalui pelbagai program yang telah diusahakan. Langkah-langkah penambahbaikan telah dilaksanakan di peringkat persekolahan seperti transformasi kurikulum dan pentaksiran bagi melahirkan modal insan yang seimbang, berilmu pengetahuan, berkemahiran, kreatif, inovatif, berketerampilan dan berakhlak mulia.
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara pula sedang dilaksanakan yang antara lain memberi penekanan terhadap peningkatan akses kepada pengajian tinggi terutama bagi program pascasiswazah, meligatkan penyelidikan dan pembangunan ke arah keberhasilan inovasi dan pengkomersialan serta menggalakkan pembelajaran berterusan bagi semua lapisan masyarakat.
Dalam menjaga kebajikan dan memberi peluang yang lebih luas kepada kaum wanita pula, Perdana Menteri telah melaksanakan pelbagai dasar, antaranya sekurang-kurangnya tiga puluh peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat, kesinambungan kepada inisiatif yang sama dalam sektor awam
Di bawah kepimpinannya hari ini, pelbagai usaha transformasi sosiopolitik telah dan sedang dilaksanakan yang antaranya termasuk penambahbaikan terhadap undang-undang dan peraturan, menambahbaikan sistem pilihan raya serta memastikan hak dan kebebasan asasi rakyat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan terjamin.
Ini termasuklah memansuhkan akta-akta yang dianggap mengehadkan kebebasan rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, di samping menggubal dan meminda undang-undang dan peraturan-peraturan untuk menjamin keselamatan negara serta mencegah keganasan dan ekstremisme.
Semua usaha ini merupakan keputusan besar kerajaan untuk memperkukuhkan kebebasan sivil dan melaksanakan transformasi politik.
Najib juga amat komited untuk melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman negara kerana ia adalah teras penting kepada sistem demokrasi.
Usaha dan komitmen beliau membanteras rasuah pula terbukti dengan penubuhan Suruhanjaya Integriti, Agensi Penguatkuasaan dan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, pengenalan Persepakatan Integriti serta peningkatan kadar sabitan kes rasuah sebanyak tujuh puluh lima peratus pada tahun 2011.
Turut membanggakan apabila hasrat dan komitmen beliau untuk mengurangkan kadar jenayah di bawah NKRA sejak 2010 telah menunjukkan hasil positif dengan indeks jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 11.1 peratus sementara jenayah jalanan turun hampir 50 peratus.
Hasil positif turut dicapai apabila Laporan Indeks Keamanan Global (GPI) pada tahun lepas telah mengiktiraf Malaysia sebagai paling negara selamat di Asia Tenggara dan yang ke-19 di dunia.
Sesungguhnya ruang yang ada ini terlalu kecil untuk menggariskan pencapaian dan prestasi Najib dalam tempoh tiga tahun ini.
Sekarang ini terpulanglah kepada kita semua sama ada mahu terus melihat Najib beraksi dan bekerja untuk kemakmuran negara ini atau sebaliknya.
Cuma harus diingat, kalau dalam tempoh tiga tahun saja pelbagai usaha yang beliau lakukan, bayangkan kalau beliau diberi lagi kesempatan untuk beliau menyambung amanah besar ini.
Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.
Najib boleh datang dan Najib boleh pergi…namun persoalannya mampukah kita ‘memperjudikan’ nasib agama, bangsa dan negara dengan memilih seseorang pemimpin yang hanya mampu beretorika semata-mata?
Jawapannya ada di tangan kita.
Mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment