AYAT ini bukan penulis yang cakap, tapi terkeluar dari mulut seorang pemilik
Kolej Universiti swasta terkemuka di ibu negara bila membincangkan isu
penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika
Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya nanti.
Asalnya penulis hairan juga, kenapa idea baik seperti ini dikatakan idea gila
pula? Terdorong dengan persoalan itu, penulis cuba dan akhirnya berjaya juga
merapati individu tersebut bagi mendapatkan penjelasannya.
Menurut individu terbabit, PTPTN banyak membantu menggalakkan pelajar yang
tidak mendapat peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di
Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk menyambung pelajaran di peringkat
Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Walaupun jumlah pinjaman PTPTN tidak cukup untuk menampung keperluan pelajar
di IPTS, tapi ia jauh lebih baik daripada pelajar terbabit menyambung
pelajarannya ke luar negara yang menelan kos yang jauh lebih tinggi.
“Sekurang-kurangnya PTPTN dapat juga membantu untuk membayar yuran
pengajian”, kata individu itu lagi.
Katanya, ada besar kemungkinan penghapusan PTPTN juga akan menyekat golongan
muda terutama yang berbangsa cina dari melanjutkan pelajaran ke peringkat yang
lebih tinggi. Pelajar cina memang diketahui sukar untuk mendapat tempat di IPTA,
bukan kerana diskriminasi atau kuota tapi kerana gagal mendapat kepujian dalam
Bahasa Melayu di peringkat SPM yang menjadi antara pra-syarat utama kemasukan ke
IPTA.
Pendek kata, PTPTN memang penting untuk lebih ramai generasi muda mendapatkan
pendidikan di peringkat tertinggi dan dalam masa yang sama menyuburkan
perniagaan dalam sektor pendidikan swasta di negara ini.
Menurut perkiraannya, tanpa PTPTN, lebih 90% kolej swasta sedia ada akan
ditutup kerana kemorosotan jumlah pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran
pengajian. Keadaan ini juga boleh menyebabkan masalah pengangguran di kalangan
pensyarah dan kakitangan sokongan IPTS sedia ada.
Nak berharap kepada pelajar asing semata-mata mungkin sukar kerana pelajar
asing, terutama dari benua Afrika sudah terbukti membawa banyak masalah sosial
di negara ini, disebalik tujuan asal untuk belajar.
Di akhir perbualan itu, individu terbabit mahu Pakatan Rakyat menjelaskan
dengan lebih terperinci bagaimana untuk menyelesaikan semua pertikaian yang
dibangkitkan dalam isu penghapusan PTPTN ini, bukan menumpukan kepada ‘membeli’
jiwa peminjam untuk mengundi Pakatan Rakyat.
“Jika tidak, Pakatan Rakyat akan menghadapi risiko kehilangan sokongan yang
jauh lebih besar”, katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan singkat itu.
Secara peribadi penulis melihat soal penghapusan PTPTN ini agak terlalu awal
untuk dibincangkan, apatah lagi kita masih menanti Datuk Seri Anwar mendedahkan
pelan penuh penghapusannya.
Tapi setelah mendapat maklum balas ini, penulis melihat ada keperluan untuk
Pakatan Rakyat melihat secara penuh implikasi yang mungkin timbul dari
penghapusan PTPTN ini.
Selain dari tujuan asalnya untuk menarik undi golongan muda (itupun terhad
kepada peminjam PTPTN sahaja).
Mungkin saranan Ahli Parlimen Balik Pulau, YB Yusmadi Yusof semalam agar
PTPTN ini dirombak (bukan dimansuhkan terus), perlu diberi pertimbangan serius
kerana ia kelihatan lebih praktikal dan boleh diterima semua pihak. – SuaraPakatanRakyat
0 comments:
Post a Comment