Photobucket

Permohonan MyKad Struktur Baru 21,000 Sehari


KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 1,516,126 permohonan daripada orang ramai untuk mendapatkan MyKad Struktur Baru sehingga bulan lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, jumlah permohonan tersebut menunjukkan MyKad Struktur Baru yang diperkenalkan bermula 3 Januari lalu mendapat sambutan baik.

“Pengeluaran MyKad Struktur Baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan menerima peningkatan permohonan penukaran MyKad mendadak sehingga tiga kali ganda berbanding permohonan sebelumnya.

“Purata permohonan diterima sebanyak 21,000 permohonan sehari berbanding sebelumnya iaitu hanya 8,000 permohonan sehari,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Mahmood berkata, hal itu bagaimanaoun menyebabkan berlaku kelewatan dalam pengeluaran MyKad siap kerana kemampuan semasa untuk JPN menyiapkan MyKad sebanyak 8,000 sehari berbanding permohonan semasa mencecah 21,000 sehari.

Justeru, katanya, KDN bersama JPN mengambil langkah untuk mendapatkan bekalan tambahan kad mentah, mengadakan rundingan bagi mendapatkan bekalan tambahan mesin mencetak MyKad Struktur Baru dan melantik kakitangan tambahan untuk kerja percetakan MyKad.

Melalui usaha itu, katanya, JPN dijangka dapat menyelesaikan sepenuhnya tunggakan cetakan MyKad struktur baru sebanyak 419,078 kad pada bulan Julai 2012.

Sehubungan itu, tambahnya, KDN juga menjelaskan kepada orang ramai bahawa pertukaran MyKad struktur baru tidak diwajibkan dan ia merupakan perlaksanaan yang berterusan tanpa tarikh tutup.

“Oleh itu bagi individu yang masih memegang Mykad lama dan masih berfungsi, adalah disahkan bahawa MyKad tersebut masih sah diguna pakai untuk berurusan di semua agensi yang berkaitan,” katanya lagi.

MyNewsHub

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers