SEPANG – Tambang untuk menunaikan haji tahun ini kekal pada RM9,980 seorang bagi jemaah haji kali pertama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Katanya kuota jemaah haji Malaysia juga dikekalkan pada 28,000 orang selaras dengan persetujuan pada mesyuarat tahunan bersama Kementerian Haji Arab Saudi serta kementerian dan agensi lain yang berlangsung di Jeddah, dua hari lepas.
Saya juga telah mengemukakan permohonan untuk mendapat tambahan kuota bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di negara ini mengerjakan Rukun Islam kelima itu, katanya pada sidang media sejurus tiba dari Arab Saudi, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.
“Saya yakin dengan kerjasama baik dan hubungan rapat kita dengan kerajaan Arab Saudi di peringkat Perdana Menteri dan hubungan saya bersama menteri yang baru dilantik (Dr Bandar Mohammed Al-Hajjar), insyaAllah akan membantu,” katanya.
Mengenai tambang haji pula, Jamil Khir berkata kerajaan dan Lembaga Tabung Haji bersetuju mengekalkan tambang sedia ada sebagai satu keistimewaan kepada jemaah haji tahun ini, sekalipun kos penginapan meningkat 15 peratus berbanding tahun lepas.
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment