Photobucket

Komputer, Telefon Bimbit Korbankan Masa Keluarga

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen Minggu Tanpa Skrin bermula 21 hingga 27 April ini di seluruh negara bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.

FOMCA melalui satu kenyataan memberitahu, kempen itu diadakan kerana penggunaan peralatan berskrin seperti komputer, komputer riba, televisyen, telefon bimbit, tablet dan MP3 dilihat telah banyak mengorbankan `masa bersama keluarga’ di kalangan rakyat Malaysia.

“Kajian menunjukkan kanak-kanak Malaysia menghabiskan antara tiga hingga lima jam sehari untuk menonton atau menggunakan peralatan berskrin. Satu kajian lain pula mendapati orang dewasa Malaysia menghabiskan masa lebih enam jam sehari menggunakan media berskrin seperti internet, televisyen, permainan dalam talian, telefon bimbit.

“Hal ini boleh menyebabkan masalah suka menyendiri dan menjalani gaya hidup (tidak sihat) kerana tidak banyak melakukan pergerakan fizikal dikalangan rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, perkara tersebut juga menyumbang kepada masalah obesiti dan berat badan berlebihan, hipertensi serta diabetes dikalangan rakyat ini.

Justeru, kata kenyataan itu, sepanjang Minggu Tanpa Skrin berkenaan FOMCA berharap ibu bapa mengurangkan tempoh menonton televisyen di kalangan kanak-kanak antara 0 hingga dua jam sehari.

Tambah kenyataan itu, FOMCA juga meminta semua pihak mengurangkan tempoh menggunakan peralatan berskrin dan lebih banyak melakukan aktiviti yang aktif secara bersendirian, bersama-sama rakan-rakan atau keluarga.

Jelas kenyataan itu, apa yang lebih penting adalah merancang aktiviti pilihan bersama keluarga seperti bermain dengan haiwan peliharaan, mewarnakan lukisan, mencantumkan gambar atau melakukan aktiviti berkeluarga seperti melawat muzium atau zoo, bermain kad atau permainan dalam rumah yang lain, menyusun gambar keluarga dalam album dan sebagainya.

MyNewsHub

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers