MELAKA – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain bagi berhadapan dengan perhimpunan menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijadual diadakan pada 14 April ini.
Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kerjasama itu bertujuan memantau dan mengawal demonstrasi anjuran pergerakan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu tidak mengganggu majoriti rakyat di ibu negara yang kesemuanya cintakan keamanan.
“Perhimpunan ini tidak sepatutnya diadakan hingga menganggu-gugat perniagaan, trafik dan lain-lain semata-mata hendak tunjukkan kepada media asing bahawa ada isu yang mahu didemonstrasikan.
“SMM sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan tuntutan mereka dan bukannya dengan mengadakan demonstrasi yang hanya akan mengganggu-gugat keamanan dan kesejahteraan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penutup Seminar Badan Pengurusan Bersama (JMB) Program Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Mengulas lanjut perkara sama, Raja Nong Chik berkata, golongan pelajar sepatutnya mempunyai sikap bertanggungjawab dengan menjelaskan pinjaman mereka.
Menurutnya, pembayaran tersebut bagi membolehkan pelajar lain menikmati kemudahan itu dan sikap yang ditunjukkan SMM terbabit satu perkara yang amat negatif.
Sebuah portal berita pada 30 Mac lalu melaporkan SMM mensasarkan 5,000 mahasiswa akan berhimpun menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN pada bulan ini.
Perhimpunan itu dijadual diadakan pada 14 April ini di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang.
MyNewsHub
0 comments:
Post a Comment