Photobucket

HALAL : JAKIM Tidak Monopoli Logo Halal

ALOR SETAR 13 Nov. - Penguatkuasaan pensijilan halal mulai 1 Januari ini bukan bertujuan menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai badan tunggal yang mengeluarkan logo halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan, selain Jakim, terdapat 14 majlis agama negeri yang turut menguatkuasakan pensijilan halal berkenaan di seluruh negara.

"Dakwaan yang mengatakan Jakim mahu memonopoli pengeluaran sijil dan logo halal adalah salah kerana sebenarnya Jakim dan 14 majlis agama negeri bersama-sama mengeluarkan sijil itu.

"Cuma logo hanya ada satu kerana ia telah diseragamkan bagi memudahkan penguatkuasaan di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di Kota Sarang Semut di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (PKS), Teh Kee Sin menggesa kerajaan menangguhkan pelantikan Jakim sebagai badan pensijilan tunggal pada 1 Januari ini kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan industri makanan di negara ini.

Kee Sin berkata, kerajaan perlu mengkaji kemungkinan memilih lebih daripada satu badan pensijilan kerana pihaknya bimbang akan wujud transaksi tidak beretika jika berlaku monopoli dalam perkara itu.

Jamil berkata, pihaknya tidak menjangkakan timbul masalah ketika Jakim dan 14 majlis agama mula berfungsi menguatkuasakan pensijilan halal kerana persiapan ke arah itu sudah dilakukan dengan rapi.

Antaranya, beliau berkata, 62 pegawai Jakim yang bertauliah telah diberi kuasa untuk menguatkuasakan pensijilan tersebut.

Beliau berkata, kesemua pegawai agensi berkaitan turut diberi latihan untuk tujuan berkenaan dan sebuah makmal bagi memproses permohonan dan kajian terhadap makanan juga akan dibuka di Taman Enstek, Nilai.

Tambahnya, tidak timbul soal kebimbangan terhadap wujudnya risiko transaksi tidak beretika kerana Jakim dan majlis agama negeri-negeri tidak bermotifkan komersial.

"Jakim dan majlis agama bukan bertujuan komersial kerana mereka hanya mengenakan RM200 untuk tempoh dua tahun bagi logo halal sesuatu produk makanan," jelasnya.

Jelas Jamil, penguatkuasaan logo halal itu adalah ekoran pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 kepada APD 2011 yang memberi kuasa kepada Jakim dan majlis agama Islam mengambil tindakan terhadap sebarang pemalsuan dan penipuan sijil halal di negara ini.

UTUSAN MALAYSIA




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers