Photobucket

Pengundi Tidak Terpengaruh

BUKIT MERTAJAM 20 Ogos – Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tidak terpengaruh dengan kempen memburuk-burukkan peribadi calon Barisan Nasional (BN) , Rohaizat Othman, 38, yang dilakukan secara berterusan oleh parti lawan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun para pemimpin Pas melakukan serangan bertubi-tubi tetapi pengundi tahu ia adalah mainan politik parti berkenaan.

Beliau berkata, perkembangan positif itu terserlah berikutan peningkatan momentum penerimaan kempen BN di kalangan para pengundi.

‘‘Pada peringkat awal kempen BN ada penolakan tetapi apabila jentera pilihan raya kita memasuki gelombang kedua, kita dapat meneutralkan keadaan dan gelombang kempen seterusnya menunjukkan penerimaan yang positif,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dari rumah ke rumah di Kampung Kolam di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir berkata, pengundi sebenarnya tidak memberi keutamaan kepada calon sebaliknya keutamaan mereka adalah parti yang bakal dipilih.

Menurutnya, BN juga tidak menjanjikan sebarang projek segera dalam kempennya kerana tidak mahu dituduh mengambil kesempatan berbuat demikian hanya ketika pilihan raya.

Sebaliknya kata beliau, BN akan melaksanakan semua permintaan munasabah daripada penduduk sekiranya calonnya diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat di Permatang Pasir.

‘‘Saya yakin sekiranya tidak menang sekali pun kita berupaya mengurangkan majoriti parti lawan pada pilihan raya kecil ini,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid menyeru bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat, Yusri Isahak supaya tidak mempolitikkan masalah peribadi antara mereka.

Pada satu sidang akhbar berasingan hari ini, Yusri mendakwa beliau telah dijadikan kambing hitam melibatkan kes penggantungan lesen peguam sivil Rohaizat ekoran salah guna wang pelanggan.

Kes berkenaan telah selesai dua tahun lalu dan Rohaizat tidak menghadapi sebarang tuduhan jenayah di mahkamah serta disahkan layak bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

Diminta mengulas dakwaan bahawa calon Pas, Mohd. Salleh Man, 52, terlibat menyeleweng RM600,000 dana parti berkenaan Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu terlibat menyerang peribadi calon parti lawan itu.

Ini kerana katanya, bukan amalan BN untuk mendedahkan aib calon yang bertanding sebaliknya memberi tumpuan kepada kebaikan yang boleh dibawa kepada rakyat.

Laman blog bigdogdotcom.wordpress.com hari ini mendakwa, Mohd. Salleh menyeleweng RM600,000 milik parti berkenaan ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh pada tahun lalu.

Dakwaan tersebut dikatakan dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa dan bekas Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Zulkifli Lazim.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers