Photobucket

PM Umum Saham Amanah RM100 Juta Bantu Penduduk Miskin Bandar


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperuntukkan saham amanah bernilai RM100 juta untuk penduduk miskin di kawasan bandar bagi meringankan beban kewangan mereka.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha tersebut akan membantu menjana pendapatan sampingan kepada kumpulan sasaran berkenaan.

"Kami kini dalam proses mengumpulkan senarai penduduk miskin," kata beliau pada majlis berbuka puasa dengan warga kota di Masjid Al Bukhari di Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Najib berkata, kemiskinan tidak hanya terhad kepada penduduk kawasan luar bandar sahaja.

"Mereka yang miskin di kawasan bandar juga memerlukan bantuan," katanya.

Dalam pada itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan lanjutan peruntukan langganan Amanah Saham 1Malaysia untuk kumpulan kaum kepada 30 September ini.

Bagaimanapun, had pelaburan maksimum untuk langganan unit baru akan dihapuskan selepas 30 hari tempoh tawaran bermula 4 September, 2009, demikian menurut PNB dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan untuk melanjutkan nisbah peruntukan dibuat bagi memberikan masa tambahan untuk orang ramai dari pelbagai kumpulan kaum melabur dalam dana itu, kata presiden dan ketua eksekutif kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Amanah Saham 1Malaysia, dana harga tetap dengan saiz 10 bilion unit, dilancarkan pada 31 Julai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semasa tempoh tawaran selama 30 hari, had pelaburan maksimum sebanyak 50,000 unit dikenakan untuk pelabur berumur 18 hingga 55 tahun dan 100,000 unit untuk pelabur 55 tahun dan ke atas.

Sehingga 25 Ogos, lebih dua bilion unit Amanah Saham 1Malaysia dilanggan oleh 148,830 pelabur, kata Hamad Kama Piah.

Dana berkenaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan peruntukan sebanyak 50 peratus untuk pelabur Bumiputera, 30 peratus pelabur Cina, 15 peratus bagi pelabur India dan baki lima peratus untuk kumpulan etnik lain.


BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers