Photobucket

Kemelut MCA Masih Ada Ruang Diselesaikan - Shafie

TUARAN 28 Ogos - Kemelut yang melanda MCA masih mempunyai ruang untuk diselesaikan, demikian tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, apa yang penting adalah semua pihak terus berusaha dan tidak berputus asa mencari jalan penyelesaian kepada kemelut itu.

''Kemelut dalam parti berlaku di mana-mana bukan sahaja di dalam negara kita. Di Indonesia pun berlaku, malah di Amerika pun berlaku.

''Apapun ia harus diatasi (kemelut) dalam masa terdekat tanpa adanya kesan yang boleh menjejaskan kekuatan kita (Barisan Nasional)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama ketua-ketua bahagian UMNO Sabah di Masjid Annur di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Salleh Said Keruak dan Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut yang melanda MCA sehingga menyebabkan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Chua Soi Lek berdepan tindakan dipecat dari parti berkenaan.

Shafie menambah, tidak boleh dinafikan kemelut yang melanda MCA sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kekuatan BN.

''Kita berharap ia dapat diatasi dalam semangat kekeluargaan dalam parti," katanya.

Dalam pada itu Shafie berkata, parti komponen BN perlu bergerak seiring dalam merencanakan program yang boleh mengembalikan kepercayaan rakyat kepada gabungan itu.

Katanya, semangat itu perlu dipupuk dari sekarang kerana BN sudah tidak mempunyai banyak masa untuk mendapat kembali sokongan rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

''Ini juga selaras dengan semangat 1Malaysia bahawa kita dari pelbagai bangsa bergerak seiringan. Apa yang mustahak semua pihak kini perlu mempunyai semangat untuk menghasilkan sesuatu yang boleh memanfaatkan semua pihak dan bukan satu pihak sahaja," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers