Photobucket

ADUN PKR Keluar Parti


ANGGOTA Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan dalam parti serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti tersebut.

Beliau tidak melepaskan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

PKR Padang Serai dibubar. 200 ahli bertindak keluar parti.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menghadap Sultan Kedah hari ini untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas digugurkan daripada jawatan Exco.

Bekas ahli PKR mendakwa kekecohan melibatkan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Isnin lalu, dibuat atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-----------------------------------------

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Seramai 200 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Padang Serai termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh (gambar) hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu.

Mohd. Radzhi yang kini menjadi wakil rakyat Bebas serta ahli parti lain mengisytiharkan berbuat demikian setelah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan selain menganggap perjuangan PKR kini tidak lagi seiring dengan matlamat asal penubuhannya.

Serentak dengan itu, PKR Bahagian Padang Serai turut dibubarkan setelah mendapat sokongan semua 14 ahli jawatankuasa bahagian terbabit.

Keputusan pembubaran bahagian itu diumumkan oleh pemangku ketua bahagiannya, Jamaludin Abu Hassan dalam satu sidang akhbar pada pukul 11 pagi di sebuah hotel di sini hari ini.

“Sempena Ramadan, bulan yang mulia ini, saya ingin mengumumkan pembubaran PKR Bahagian Padang Serai berkuat kuasa serta-merta dan keluar parti. Tindakan saya ini disokong semua 14 ahli jawatankuasa bahagian.

“Amat menyedihkan, PKR tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan politik peribadi dan pemimpin-pemimpin atas pula hanya pandai bersandiwara dan bermain politik peribadi,” katanya.

Jamaludin turut menyarankan rakan-rakannya di bahagian lain di seluruh negara mengikut langkahnya, memandangkan perjuangan asal PKR tidak lagi relevan dan berkepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Mohd. Radzhi yang membuat keputusan mengejut tersebut memberitahu, beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan selaku ahli Exco kerajaan negeri Kedah dan portfolio Pelancongan, Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia.

“Saya tak letak jawatan Exco kerana itu hak Sultan Kedah, kalau Sultan suruh saya letak, saya baru letak,” katanya yang menyertai PKR sejak 1998.

Tambahnya, beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasannya di samping memberi sokongan penuh kepada kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Mohd. Radzhi, beliau merasakan hala tuju PKR sudah berubah secara drastik dan tidak lagi seperti diperjuangkan ketika menyertai PKR yang sebelum itu adalah Parti Keadilan Nasional, 11 tahun lalu.

Jelasnya, beliau sebelum ini bangga menyertai PKR kerana perjuangannya menjurus kepada usaha membantu, membina kekuatan dan jati diri serta menguatkan ekonomi orang Melayu.

“Namun semenjak PKR berjaya menguasai dan memerintah beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu (2008), saya lihat hala tuju parti telah berubah. Ia menjurus kepentingan peribadi pula, orang yang bekerja kuat untuk pucuk pimpinan parti pula diketepikan.

“Pada mulanya saya masih bertahan dan menyangka akan ada perubahan, tetapi kini saya sudah tidak boleh sabar dan ambil keputusan tinggalkan parti,” katanya.

Mohd. Radzhi juga menafikan beliau telah ‘dibeli’ untuk menyertai parti lain.

“Kalau dah kena ‘beli,’ mestilah sudah masuk parti yang ‘beli’ saya. Saya sekarang cuma keluar parti dan masuk parti Bebas. Parti Bebas pun politik juga,” tegasnya yang tidak merancang untuk menyertai parti lain.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers