Photobucket

PAS Mahu Kedudukan Ronnie Liu Dalam Exco Dikaji

SHAH ALAM 4 Ogos — PAS Selangor hari ini menggesa agar kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu dikaji semula kerana didakwa campur tangan dalam beberapa isu penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata Pas mahu porfolio yang disandang Liu ditukarkan dengan orang lain bagi mengurangkan masalah yang sedang dan pernah berlaku sebelum ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di sini hari ini, Dr Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri bahawa mereka tidak senang dengan campur tangan pihak tertentu termasuk Liu di dalam usaha untuk mengawal pengurusan dan penjualan arak di kalangan masyarakat Islam di Selangor.

Liu telah mempertikai keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan tindakan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas 70 tin dan botol minuman keras daripada sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Seksyen 8 di sini pada 30 Julai lepas. Menurut satu laporan akhbar, minuman keras itu telah dipulangkan kemudian.

Liu dilaporkan berkata bahawa peraturan penjualan arak di Selangor yang sedia ada kekal sehingga satu garis panduan penjualan arak yang baru dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Dr Hasan berkata keputusan untuk melarang penjualan arak di kedai serbaneka 7-Eleven di kawasan yang majoriti penduduknya Islam seperti di Seksyen 8 telah diluluskan dalam satu mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Shah Alam baru-baru ini.

MBSA mengambil keputusan itu dan mengambil tindakan atas desakan-desakan para penduduk setempat, katanya.

Dengan perkembangan ini, Dr Hasan berkata Pas Selangor mendesak agar kerajaan negeri serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk digunapakai di seluruh negeri Selangor supaya kontroversi seumpama itu tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam.

Katanya kajian JAIS mendapati kebanyakan pembeli arak di kedai serbaneka yang dibuka sehingga larut malam mendapati ramai golongan muda Melayu daripada peringkat sekolah sehingga institusi pengajian tinggi membeli arak untuk diminum dari pukul 7 malam hingga 12 tengah malam.

Pas juga akan mengemukakan dengan segera draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasakan di peringkat PBT kepada kerajaan negeri dan juga pakatan pembangkang.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata Liu juga telah mempertikai serbuan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya terhadap sebuah pusat hiburan di Bandar Sunway di mana JAIS telah membuat tangkapan terhadap pengunjung-pengunjung Islam yang meminum arak.

— BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers