KUALA LUMPUR: Penduduk Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum merupakan kekuatan dan kelebihan yang ada pada negara yang dapat memacu negara ke tahap lebih tinggi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri berkata oleh yang demikian, masyarakat berbilang kaum tidak wajar dilihat sebagai satu liabiliti atau kelemahan.
"Ini akan memberi kelebihan kepada kita jika kita melihatnya daripada konteks positif. Masyarakat berbilang kaum kita adalah satu realiti politik. Ia adalah keunikan Malaysia," katanya dalam ucapan kepada kirakira 6,000 pengunjung yang membanjiri karnival 1Malaysia yang diadakan di Batu Caves di sini.
Najib berkata sebab itu asas pertama konsep 1Malaysia ialah untuk menukar cara berfikir semua rakyat Malaysia daripada sikap hanya bersandarkan kepada toleransi sematamata kepada penerimaan sepenuhnya masyarakat berbilang kaum.
"Saya percaya setiap komuniti dan kumpulan etnik mempunyai keperluannya sendiri, sistem nilai sendiri, aspirasi sendiri, agama dan cara hidup sendiri, dan perlu kita menghormatinya sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia," katanya.
Najib berkata adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada jiwa, sistem nilai dan cara hidup mereka.
Beliau juga berkata adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk saling menghormati antara satu sama lain dan percaya dengan konsep kesamaan dalam 1Malasyia.
"Saya percaya ini merupakan aspirasi semua rakyat Malaysia yang mahu melihat kita semua bersatu, hidup dalam harmoni dan aman dan untuk melihat kita melakukan transformasi terhadap Malaysia, dan membawa Malaysia ke tahap dan kejayaan lebih tinggi.
"Tetapi, bagi membolehkan semua itu berlaku, kita perlu bersatu sebagai 1Malaysia," katanya.
Najib berkata dengan keunikan yang dimiliki negara, Malaysia boleh menjadi pintu masuk kepada dunia.
"Kita adalah pintu masuk ke China, kita adalah pintu masuk ke India dan kita adalah pintu masuk ke dunia Melayu dan Timur Tengah. Kita mempunyai semua tamadun utama di sini, di Malaysia, sebab itu kita gelar diri kita sebagai 'Malaysia Truly Asia'. "Kita mesti manfaatkan semua kelebihan ini kepada faedah strategik," katanya.
Najib berkata kerajaan bersedia memperuntukkan dana untuk membangunkan Batu Caves sebagai destinasi pelancongan utama dan berharap ini akan menjadi permulaan baru bagi seluruh kawasan itu daripada segi pembangunan pelancongan.
Perdana Menteri juga berjanji akan menghadiri perayaan Thaipusam tahun depan, ini adalah seiring dengan langkah allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussain yang merupakan perdana menteri kedua yang pernah menghadiri sambutan Thaipusam dan melawat Batu Caves.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata peruntukan yang disediakan kerajaan bagi membantu masyarakat India melalui pelbagai kaedah membuktikan pentadbiran sekarang adalah komited dan ikhlas dalam usaha untuk membantu semua kaum di negara ini.
Karnival tiga itu dianjurkan oleh kuil Sri Maha Mariamman.
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment