PUTRAJAYA 10 Ogos – Tiada lagi tolak ansur! Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertegas akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan merayu undi dan membuka pondok-pondok panas pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, 25 Ogos ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguatkuasakan larangan tersebut sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
‘‘Kita tidak terima desakan daripada mana-mana pihak tetapi langkah ini dilakukan hasil laporan dan rakaman visual yang SPR terima selepas Pilihan Raya Kecil Manek Urai.
‘‘Jadi kita buat keputusan bahawa di Permatang Pasir tidak akan ada lagi barung-barung parti politik, tiada lagi meja semakan dan kita akan pastikan tiada lagi merayu dan meraih undi pada hari pengundian,’’ katanya.
Tegas Abdul Aziz, SPR tidak mahu lagi penyokong-penyokong parti yang bertanding berdiri di kiri dan kanan jalan berhampiran pintu masuk pusat pengundian sehingga mengganggu pergerakan para pengundi.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata; ‘‘Dua kumpulan bertanding itu mengeluarkan perkataan-perkataan tidak elok, lebih-lebih lagi pada bulan puasa, adalah tidak elok sama sekali mengeluarkan perkataan tidak baik, malah semua agama pun melarang perbuatan itu.
‘‘Jadi saya harap sangat media dapat beri kerjasama memaklumkan kepada para pemimpin parti, mengingatkan perkara ini supaya tidak berlaku lagi pergaduhan, baling botol dan baling batu,’’ katanya.
Sebagai alternatif dan kemudahan para pengundi, katanya, SPR akan menyediakan meja semakan di luar pagar pusat pengundian dan di tempat-tempat strategik.
Jelas beliau, langkah itu adalah untuk memastikan keadaan pada hari pengundian ‘benar-benar tenang, tenteram dan selamat’ bagi membolehkan para pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
UTUSAN MALAYSIA
0 comments:
Post a Comment