Photobucket

Susulan ADUN Keluar PKR

Tindakan Mohd. Radzhi Bukan Luar Biasa

IPOH 24 Ogos - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh mengambil keputusan untuk keluar parti bukan satu tindakan luar biasa.

Bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak yang kini ADUN Bebas, Jamaluddin Mohd. Radzi berkata, tindakan pimpinan parti itu yang tidak mempedulikan ahli dan mementingkan agenda peribadi adalah pendorong utama mereka bertindak demikian.

"Kebanyakan pemimpin PKR yang saya nampak semuanya mementingkan diri sendiri dan bukannya menjaga kepentingan rakyat atau negara.

"Saya yakin selepas ini lebih ramai ahli PKR yang akan keluar parti kerana rasa tidak puas hati dengan kepimpinan terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata ADUN Behrang itu kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Mohd. Radzhi yang bertindak keluar dari PKR selepas hilang kepercayaan dengan pucuk pimpinan parti tersebut.

Menurut Jamaluddin, tindakan Mohd. Radzhi itu sudah dijangka memandangkan pergolakan yang tidak henti-henti berlaku membabitkan parti itu.

"Dia ada menghubungi saya menyatakan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan PKR di Kedah dan bertegas tidak mahu menjadi boneka pihak tertentu.

"Cuma saya tak sangka beliau mengambil tindakan sebegini cepat. Nampaknya apa yang saya rasa ketika bersama PKR di Perak sama dengan apa yang beliau alami dengan PKR di Kedah," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas keluar dari PKR, kata Jamaluddin, beliau kini rasa bebas untuk berkhidmat kepada rakyat berbanding ketika bersama PKR.

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, katanya, mereka patut berjuang untuk kepentingan rakyat dan tidak menjadi 'kerbau yang dicucuk hidung'.

"Bukan layanan atau kemewahan yang dipandang, sebaliknya saya minta semua pemimpin berjuang untuk rakyat dan demi kepentingan bangsa Melayu," katanya.

-------------------------------

'Buat Apa Tunggu Dalam PKR Lagi?'

IPOH 24 Ogos - "Buat apa tunggu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) lagi. Pemimpin PKR dah jadi lain sekarang." Itu pesanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu kepada wakil rakyat serta ahli PKR yang masih dalam dilema sama ada mahu keluar atau terus kekal dalam parti itu.

Beliau yang merupakan antara dua wakil rakyat terawal yang keluar dari PKR berkata, perjuangan PKR sudah jauh berubah selepas menang banyak kerusi pada pilihan raya umum lepas.

"Pejuang-pejuang tulen dalam PKR sudah terpinggir sebenarnya. Ramai muka-muka baru cuba menonjol sebab parti dah ada kuasa sekarang.

"Dulu orang tak pandang dan tak mahu dekat dengan PKR tetapi apabila dah bentuk kerajaan, orang yang tidak pernah nampak muka dalam PKR sekarang ke depan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan ADUN kawasan Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh keluar daripada PKR dan melepaskan semua jawatan dalam parti serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat bebas.

Ekoran itu, PKR Padang Serai turut dibubarkan dan 200 ahli keluar dari parti.

Menurut Mohd. Osman, pada pandangannya, Mohd. Radzhi mungkin bertindak demikian kerana mendapat tekanan daripada PKR atau pakatan pembangkang terutamanya Pas.

"Apa yang dilakukan beliau merupakan satu tindakan bijak dan berani. Ini juga memberikan satu petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir," katanya.

Diminta mengulas mengenai isu kroni dalam PKR yang turut dibangkitkan Mohd. Radzi, Mohd. Osman memberitahu, masalah itu sebenarnya sudah lama wujud dan sedang berlaku sekarang.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers