Photobucket

Tidak Mustahil BN Lakukan Keajaiban di Permatang Pasir


TIDAK mudah. Hakikat itu mesti diakui Barisan Nasional (BN) apabila memperkatakan tentang peluang untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir. Banyak faktor yang mesti diambil kira lantaran N11 bukan cabaran yang boleh dilepasi semudah itu.

Seawal hari penamaan calon telah memberi gambaran tentang apa sebenarnya masalah baik di pihak BN mahu pun Pas. Tidak banyak rintangan yang perlu dilalui oleh Pas, malah boleh saja dikatakan faktor X di Permatang Pasir memihak kepada parti itu.

Permatang Pasir kubu kuat Pas. Kawasan itu juga merupakan tempat 'berhimpunnya' penyokong-penyokong tegar parti itu yang sama sekali tidak akan berpaling kepada parti berlatar-belakangkan warna biru.

Permatang Pasir juga terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh. BN pernah tersungkur di situ - orang Melayu di kawasan itu dikatakan tidak bersatu, sokongan terhadap pembangkang lebih ketara. Kaitannya dengan Permatang Pasir amat rapat.

Sokongan terhadap setiap inci kempen yang dijalankan akan mendapat sokongan Parlimen Permatang Pauh - malah seawal jalan masuk bagi laluan penyokong-penyokong pakatan pembangkang ke pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, poster Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergantungan menyambut kedatangan orang ramai.

Bukan PKR yang bertanding, tetapi sokongan kepada calon Pas sangat jelas. Ahli Parlimen Padang Serai dari parti itu, N. Gobalakrishnan turut menunjukkan sokongan padu dengan membuat onar untuk menunjukkan betapa pakatan pembangkang boleh berbuat apa sahaja di Permatang Pasir.

Faktor itu mengekalkan peluang Pas untuk terus bertapak di N11. Biar pun selama tiga penggal menguasai DUN tersebut tanpa membawa banyak perubahan untuk rakyat, Pas tetap diterima. Tempoh hampir 15 tahun cukup untuk membuat pengundi di situ selesa menolak arus pembangunan.

Penolakan itu yang mesti ditangani BN. Tugas itu sekali lagi tidak mudah.

Apa pendekatan BN menerusi calonnya Rohaizat Othman untuk menawan hati pengundi di kawasan majoriti Melayu yang percaya pembangunan itu tidak perlu?

Apakah BN mampu berbuat demikian apatah lagi kempen sepanjang 10 hari ini terpaksa dipadatkan dengan penjelasan tentang 'serangan peribadi' pembangkang terhadap anak muda yang dipilih oleh BN sebagai calon untuk mengembangkan gelombang birunya?

Biar pun tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk BN melakukan 'keajaiban'. Slogan 'Pas pasti terkubur' yang tertera pada sepanduk barisan hadapan kumpulan penyokong BN boleh menjadi kenyataan jika resipi serta pendekatan yang digunakan betul.

Faktor X yang ada pada Pas dan pakatan pembangkang hakikatnya boleh ditukar menjadi Z jika ahli-ahli BN amnya dan UMNO khususnya belajar dari kesilapan lalu dan menjadikan Permatang Pasir sebagai bukti bahawa masih ada peluang untuk kemenangan.

Masih ada ruang untuk membuat catatan yang lebih baik berbanding kejayaan menurunkan majoriti undi Pas seperti mana yang dilakukan di Manek Urai.

Jika BN dan UMNO bertungkus lumus mengorbankan seratus peratus tenaga dan usaha di Manek Urai, maka usaha berlipat kali ganda menjangkau lima ratus peratus mesti ditunjukkan di Permatang Pasir yang terletak dalam negeri pimpinan DAP - rakan sebantal Pas biar pun mimpi lain-lain.

Usaha itu mesti datang dari dalam BN sebagai parti induk dan UMNO sebagai komponen yang bertanding di situ. Tanpa perpaduan, penyatuan, keikhlasan dan kesungguhan, BN akan terus mengulangi kesilapannya dan perkara ini tidak boleh dibenarkan berlaku di Permatang Pasir.

Dalam keadaan Pas meletakkan calon yang telah enam kali tewas dalam pilihan raya, apakah BN mahu memberikan rekod kemenangan kepada beliau bukan kerana Pas itu kuat sebaliknya hanya disebabkan UMNO tidak mahu belajar.

Justeru, keyakinan barisan hadapan pemimpin BN yang mahu mengambil-alih N11 dari tangan pembangkang mesti disokong dan didorong hasilnya menerusi penyatuan hati dan kesungguhan ahli-ahli parti.

Permatang Pasir adalah medannya dan perjuangan itu kini bermula.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers