Photobucket

BN Tetap Letak Calon Tanding Kerusi Dun Manek Urai - Najib


SAMARAHAN, 18 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan tetap meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai ini kerana isu kerajaan perpaduan dan pilihan raya kecil di Kelantan itu adalah berbeza dan memerlukan penyelesaian tersendiri.

Najib yang juga Presiden UMNO dan BN berkata, ini memandangkan perkara pembentukan kerajaan perpaduan dengan PAS masih belum memasuki peringkat perbincangan lagi.

"Belum ada perbincangan mengenai perkara ini (kerajaan perpaduan), kita terpaksa melalui proses pilihan raya (Manek Urai)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Pichin,Serian di sini Khamis.

Semalam, Pas Kelantan telah meminta UMNO supaya tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu sekiranya benar-benar serius dengan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dipetik sebagai berkata, UMNO tidak akan 'bergaduh' dengan Pas dalam pilihan raya kecil itu sekiranya mereka benar-benar mendokong cadangan tersebut.

Mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu Nasharuddin Mat Isa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan Anggota Parlimen Bachok jika terus menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan, Najib menyifatkan ia sebagai tindakan yang menghairankan.

"Saya tak tahu apa disebalik kenyataan Nik Aziz, pada kita sesuatu yang mendatangkan kebaikan adalah sesuatu yang harus diusahakan oleh kita," katanya.

Nik Aziz dipetik sebagai berkata, tindakan Nasharuddin boleh mencetuskan kecelaruan dalam parti.

Mengenai perbincangan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pagi ini, beliau berkata, ia melibatkan penerangan mengenai perbelanjaan terkini yang diperuntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama dan kedua.

Beliau berkata, kerajaan pusat akan bersedia mempertimbang keperluan Sarawak berdasarkan maklumbalas dari pemimpin BN terbabit.

Beliau berkata, lawatan dua hari ke Sarawak bermula semalam telah memberi kepuasan tersendiri kerana ia mencerminkan konsep 1Malaysia.

Najib berkata lawatan ke kampung serta rumah panjang pelbagai etnik mampu memberi pemahaman mendalam rakyat mengenai konsep 1Malaysia.

Terdahulu di dalam ucapan, Najib mengumumkan peruntukan RM1.35 juta untuk pembinaaan Awah Tun Abdul Razak kepada penduduk majoriti masyarakat Bidayuh di Kampung Pichin.

Beliau berkata, lawatan ke Kampung Pichin adalah permintaan peribadi beliau kepada kerajaan negeri setelah mengetahui ayahandanya pernah melawat kampung tersebut 43 tahun lalu ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikan projek bekalan air.

Najib memberi jaminan kerajaan pusat akan memberi sokongan kepada masyarakat Bidayuh di Sarawak yang sentiasa setia dengan kerajaan BN sejak dahulu.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers