Photobucket

Ketepikan Soal Peribadi Demi MELAYU


KUALA LUMPUR 18 Jun - Ketepikan soal peribadi. Itu permintaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim terhadap pemimpin Pas. Hanya dengan berbuat demikian, menurutnya, ikatan perpaduan antara parti tersebut dengan UMNO dapat dimeterai bagi mengelak orang Melayu daripada terus berpecah.

Beliau berharap semua pihak terutamanya pemimpin Pas dapat menggunakan ketajaman minda dalam menyelesaikan isu perpaduan Melayu.

"Perpaduan selaras dengan perjuangan Islam. Perjuangan Pas dan UMNO juga menuntut kepada perpaduan.

"Bersatu padu melalui ummah adalah sesuatu yang dikehendaki dalam Islam dan semua pihak perlu membuka mata serta ikhlas kerana perpecahan tidak menguntungkan sesiapa terutama orang Melayu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rais diminta mengulas amaran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang bimbang melihat perpecahan teruk dalam kalangan Melayu sehingga menyebabkan kaum majoriti itu kelihatan lemah.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya perpaduan antara UMNO-Pas sahaja yang boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di negara ini.

Tambah Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, keikhlasan adalah penting dalam mencari titik perpaduan dua parti politik yang berbeza ideologi itu.

Katanya, mereka yang berpandangan serta membuat perhitungan peribadi tidak ikhlas dalam memperjuangkan Islam dan nasionalisme.

"Dalam isu ini, saya terkejut serta tidak menyangka seorang yang berilmu dan banyak pengalaman seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi kenyataan yang bertentangan sehingga menyifatkan penyatuan antara UMNO dan Pas tidak memberi makna," katanya.

"Selaku orang lama dalam politik negara, saya berharap, semua pihak menyusun strategi bersama demi Melayu dan Islam. Perkara ini adalah sesuatu yang menguntungkan dan pernah berlaku semasa zaman Tun Abdul Razak,'' jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, Melayu kini berpecah kepada lima iaitu Melayu-UMNO, Melayu-Pas, Melayu-Parti Keadilan Rakyat (PKR), Melayu-atas pagar dan Melayu-Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, perpecahan tersebut adalah sesuatu yang merugikan walaupun Melayu mewakili 66.6 peratus atau dua pertiga penduduk negara ini.

Tegasnya, dalam persekitaran politik dan ekonomi yang mencabar, orang Melayu memerlukan satu parti politik teras yang kuat jika bercita-cita ingin menjadi satu negara bangsa yang maju menjelang 2020.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers