Photobucket

Apa Agenda Anwar?


KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab khususnya dalam menyelami sejarah negara apabila kembali membangkitkan isu berkaitan Chin Peng.

Sabtu lalu, Anwar membangkitkan persoalan kenapa tidak membenarkan pemimpin kanan anggota komunis, Chin Peng kembali sedangkan Kerajaan telah berdamai dengan Komunis China.

Dalam menilai hal ini, dangkalnya pemikiran seorang yang bergelar pemimpin apabila gagal menghayati perjuangan tokoh terdahulu dalam mempertahankan negara daripada kekejaman komunis yang didalangi oleh orang-orang seperti Chin Peng.

Kepahitan dan kesengsaraan yang dialami sesungguhnya masih tetap dirasai biarpun ia telah lama berlaku apatah lagi tokoh terdahulu bukan sahaja berkorban harta benda, keringat dan airmata malahan nyawa juga menjadi taruhan.

Bagaimana mungkin Anwar boleh melontarkan persoalan sedemikian sekiranya benar beliau seorang pemimpin yang memahami jiwa rakyat.

Ceteknya akal Anwar apabila menggunakan isu tersebut sebagai bahan untuk menarik perhatian untuk cubaan meneruskan kesinambungan populariti murahan dan mungkin juga ingin lari dari kenyataan berkaitan kesnya sendiri yang akan mula dibicarakan awal bulan nanti.

Perlu difahami bahawa tindakan bersenjata pihak komunis Bintang Tiga telah melibatkan beberapa siri serangan berdarah selepas Jepun menyerah kalah termasuklah insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak.

Tujuan utama PKM melancarkan gerakan bersenjata adalah untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan mendirikan sebuah Kerajaan Republik Komunis melalui pemberontakan bersenjata.

Chin Peng juga mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen Ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya - TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.

Dengan gerakan bersenjata komunis dikatakan kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehinggalah mereka meletakkan senjata pada 1989.

Dalam hal ini, Kerajaan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu.

Tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat jerangkap samar yang dipasang oleh gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng dan konco-konconya dari Rejimen Ke-10 yang berselindung di sebalik nama Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Sesungguhnya, tujuan utama pemimpin PKM adalah untuk mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.

Lantaran itu, apa agenda Anwar hinggakan hilang kewarasan dan rasa tanggungjawab memahami aspirasi negara!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers