Photobucket

UMNO antara persepsi, manupulasi dan provokasi…


Kelemahan organisasi, komunikasi dan pemasaran adalah punca utama UMNO mengalami banyak kekalahan pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-12. Selain itu sikap sombong, kegagalan menangani persepsi serta tidak bijak memanupulasi perkara untuk kebaikan turut menjadi faktor sampingan.

Zaharin Yasin atau lebih dikenali sebagai Sang Kelembai, berkata untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, langkah pertama perlu dibuat oleh parti itu ialah memusnahkan persepsi buruk yang telah ditanam oleh pembangkang.

“Cara terbaik untuk menangani persepsi yang dicipta oleh pembangkang ialah dengan mencipta persepsi kita sendiri. Bagaimanapun persepsi yang dicipta itu mestilah positif dan profesional. Apabila orang sudah dapat menerima persepsi itu, kita boleh memanupulasinya dengan cara yang positif dan seterusnya dapat menimbulkan provokasi yang sihat,” katanya.

Beliau menyampaikan pandangan itu semasa forum bual bicara anjuran UMNO berjudul Antara Persepsi, Manupulasi dan Provokasi di ibupejabat UMNO, pada Jumaat malam,

Menurut Zaharin yang pernah dipecat oleh UMNO kerana kelantangannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membina persepsi positif terhadap dirinya sebagai pejuang Islam dan penentang rasuah di kalangan penyokongnya, dan kegagalan UMNO menangkis persepsi ke atas Anwar membuatkan pemimpin pembangkang itu terus dipercayai rakyat.

Selain itu katanya UMNO harus menggunakan strategi bertarung dengan musuh di gelanggang sendiri selain melakukan sebanyak provokasi yang boleh untuk membangkitkan semangat rakyat kembali mempercayai dan menyokong parti.

“Isu kerajaan perpaduan adalah contoh terbaik. Pembangkang bijak mencipta persepsi dan memanupulasikan keadaan sehingga ia kelihatan seperti UMNO yang bersalah,” katanya.

Forum berkenaan turut disertai oleh mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain sementara Datuk Chamil Wariya bertindak sebagai moderator.

Dalam penerangannya, Tan Sri Isa pula berkata, satu lagi kelemahan orang UMNO ialah sikap malas dan takut serta tidak tahu mencetuskan provokasi. Katanya orang UMNO lebih bijak berprovokasi sesama sendiri tetapi apabila berdepan dengan pembangkang, mereka menyerah kalah.

Menurutnya jika UMNO gagal mengubah persepsi negatif rakyat terhadapnya, parti akan mengalami kekalahan lebih besar dalam PRU akan datang. Beliau berkata UMNO harus mencontohi cara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berdepan dengan persepsi.

“Ketika Datuk Seri Anwar berusaha menjatuhkan Tun Mahathir, beliau telah berjaya menimbulkan persepsi bahawa Tun Mahathir mengamalkan nepotisme dan kronisme serta kononnya seorang dikator, firauan dan sebagainya.

“Tetapi Tun menguruskan persepsi itu dengan bijak dan sebaliknya berjaya mengembalikan persepsi negatif terhadap Anwar pula.

“ Selain itu UMNO juga bergerak lembab. Contohnya semasa pilihanraya Bukit Gantang, ketika UMNO sedang merancang mengadakan ceramah, pembangkang sudahpun mengedarkan risalah dan membuat penerangan di setiap pelusuk kampung,” katanya.

Isa juga mengingatkan UMNO supaya jangan mengambil ringan setiap perkara, terutama isu tempatan, negeri dan nasional. Bagaimanapun katanya, UMNO harus bijak mengurus dan memanupulasikan isu-isu berkenaan.

“ Kita boleh memanupulasi, tetapi kita janganlah berbohong. Tetapi apa yang jelas, untuk PRU akan datang isu pembangunan tidak boleh dijadikan modal lagi,” katanya.

Prof Ahmad Atory pula berkata, berdasarkan kajian yang dibuatnya, PAS telah banyak menyimpang dari landasan asal perjuangan mereka, tetapi disebabkan parti itu bijak menanamkan persepsi, memanupulasikan isu dan melakukan provokasi, mereka dilihat hebat.

Katanya, antara persepsi masyarakat terhadap UMNO ialah ia sebuah parti yang sombong dan kerajaan pula dilihat gagal melaksanakan DEB serta mendiskriminasikan kaum dalam perkhidmatan awam dan polis.

Beliau juga berkata UMNO masih relevan dan kemerosotan sokongan kepada BN pada PRU ke-12 banyak disumbangkan oleh parti-parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC.

“Sejak selepas PRU ke-12, pembangkang dan blogger pro-pembangkang terus menerus melakukan manupulasi dan provokasi untuk memberikan persepsi kononnya BN sudah jatuh sehingga ia tertanam dalam benak fikiran rakyat.

“Jika kita tidak menguruskan UMNO dengan baik, maka Perdana Menteri sekarang akan menjadi Perdana Menteri yang terakhir menjelang PRU ke-13.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers