Photobucket

PAS: Kisah musuh dalam selimut dan kumpulan Erdogan

Jika mengambil kira suara-suara yang mempertahankan kepimpinan ulama dalam Muktamar Dewan Ulama serta Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, pada Khamis, kumpulan Erdogan atau profesional yang pro Anwar boleh lupakan hasrat untuk menguasai parti itu.

Malah kumpulan penyokong aliran profesional yang menyatakan pemimpin aliran pro-ulama cuba menguasai banyak jawatan dalam parti dalam pemilihan kali ini turut dikecam Dewan Ulama.

"Kita mendengar cakap yang kurang enak mengatakan ulama ingin membolot kepimpinan PAS, tidak mahu berkompromi dengan profesional dan macam-macam lagi," kata Ketuanya Datuk Mohamad Daud.

Beliau menyelar tindakan kumpulan terbabit yang dilabel sebagai "musuh dalam selimut" yang dianggap cuba memperkecilkan dan menidakkan sumbangan ulama yang menjadi teras kepemimpinan parti itu sejak dahulu.

Tanpa berselindung, Mohamad ketika merasmikan muktamar Dewan Ulama di Shah Alam, Khamis berkata, golongan kecil penyokong PAS ini cuba memperkecilkan peranan ulama dan membuat serangan menggunakan pelbagai teknologi canggih terkini seperti di laman blog dan media elektronik.

Pendedahan beliau mengenai musuh dalam selimut ini seakan-akan mengesahkan bahawa kumpulan tertentu merancang mengambil alih pimpinan PAS.

Pertembungan dua aliran dalam parti itu ulama – professional semakin jelas apabila ada pemimpin PAS cuba mencabar Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa dalam pemilihan pada Jumaat.

Mohamad berkata, saranan kerajaan perpaduan oleh Presdien Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi "petunjuk besar bahawa ulama PAS tidak pernah ketandusan idea dalam merealisasikan tahalluf siyasi atau kerjasama politik.

Lebih menarik, Dewan Ulama PAS turut meluluskan usul supaya jawatan presiden, timbalan dan satu daripada tiga naib presiden parti itu diperuntukkan kepada golongan ulama dalam usaha memantapkan golongan itu yang kian dipertikaikan.

Usul Dewan Ulama Terengganu itu dibuat atas dasar ulama telah mempelopori penubuhan PAS dan menerajui kepemimpinan ulama sejak 27 tahun lalu - apabila era Datuk Asri Muda yang dianggap nasionalis ditumbangkan pada 1982.

Dalam pemilihan jawatan nombor dua, Nasharuddin akan ditentang oleh dua naib presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu – kedua-duanya bukan tokoh ulama.

Perwakilan Dewan Pemuda PAS hari ini mahu kepimpinan ulama dalam parti itu yang diperkenalkan sejak hampir tiga dekad lalu terus dipertahankan.

Apa yang pasti Dewan Ulama tidak bersendirian dalam hal ini apabila Dewan Pemuda PAS Pusat turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan ulama dalam menerajui kepimpinan parti.

Jika mementum ini dibawa dalam Muktamar Tahunan ke 55 PAS yang bermula Jumaat hingga Ahad ini, peluang kumpulan ulama ‘menyingkirkan musuh dalam selimut’ amat cerah.

AgendaDaily - 5/6/2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers