BUKIT MERTAJAM, 31 Mei (Bernama) -- Walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti hari ini, namun kemenangan itu tidak membayangkan penerimaan penuh masyarakat kawasan berkenaan berdasarkan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Penganalisis politik berpendapat sokongan yang diterima PKR perlu dilihat dari sudut majoriti yang diperolehi calonnya Mansor Othman kali ini berbanding penyandang, dan juga jumlah yang keluar mengundi.
Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata mereka yang tidak keluar mengundi terutamanya pengundi atas pagar mungkin berasa muak setelah melalui tiga pilihan raya sejak Mac tahun lepas.
"Yang keluar mengundi hari ini memang penyokong setia pembangkang, manakala penyokong BN dan pengundi atas pagar tidak keluar mengundi kerana mungkin rasa muak dengan pilihan raya yang terlalu kerap," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya perbezaan jumlah undi yang diterima oleh Mansor dan penyandang kerusi itu, Mohammad Fairus Khairuddin yang tidak besar iaitu 1,264 undi juga menggambarkan penyokong PKR sendiri sudah merasa yakin kemenangan akan berpihak kepada parti itu, menyebabkan mereka tidak keluar mengundi.
Peratus pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka merosot dengan ketara, daripada 12,657 orang atau 82.08 peratus pada Mac 2008 kepada hanya 7,100 atau 46.15 peratus hari ini.
Seorang lagi penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Nizamuddin Sulaiman berkata, walaupun kemenangan PKR sudah dijangka, tetapi signifikasi pilihan raya kecil kali ini harus dikaji dari aspek majoriti undi yang diperolehi memandangkan PKR tidak berdepan musuh tradisinya, BN.
"Menang atau kalah itu bukan persoalan tetapi yang harus dilihat ialah peratusan yang keluar mengundi untuk dikaji sokongan masyarakat terhadap PKR," katanya.
Pada pilihan raya kecil ini, Mansor memperoleh 6,052 undi dengan majoriti 5,558 undi berbanding tiga pencabarnya calon Bebas iaitu Aminah Abdullah, 56, dengan 392 undi, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41, (494 undi) dan Kamarul Ramizu Idris, 42, (56 undi).
Pada pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lepas, Mohammad Fairus mencatat kemenangan dengan majoriti 2,219 undi setelah memperolehi 7,346 undi mengalahkan Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dari BN yang memperolehi 5,127 undi.
Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus yang berhasrat melanjutkan pelajaran di peringkat pasca ijazah pada 16 April lepas.
Mansor pernah menyertai tiga pilihan raya umum sejak 1999 tetapi tewas pada ketiga-tiga percubaannya itu.
-- BERNAMA
Account Update Notice: today 12/18/2024 7:01:37 p.m.
-
Dear Customer blogger.com
Due to our Annual updates on our server your email:
lemandecaprio.peluru@blogger.com will stop sending and receiving emails if ...
4 hours ago
0 comments:
Post a Comment