Photobucket

Sikap Tok Guru : Ada Ahli PAS Yang Dah Mula Hairan…


Jika orang luar PAS pelik dengan perubahan sikap Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat apatah lagi ahli-ahli dan pemimpin parti itu.

Memang diketahui, pemimpin PAS sentiasa tutup mulut melindungi apa jua kelemahan serta kepincangan parti itu malah media jarang dapat mengorek cerita dalaman PAS.

Bagaimanapun, semua berubah gara-gara pemilihan pimpinan dalam Muktamar PAS baru-baru ini apabila wujud dua puak dalam parti yang cuba menguasai pimpinan.

Macam-macam cerita pelik keluar selain wujud penentangan terbuka beberapa pemimpin yang pro Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama terhadap Nasharuddin Mat Isa.

Setelah kalah merebut jawatan Timbalan Presiden, perang antara kumpulan ini berterusan dan nampak jelas Tok Guru Nik Aziz melepaskan kemarahan kepada Nasharuddin ekoran tewasnya, Husam anak didik beliau.

Jestru menghamburkan kata-kata kecaman termasuk meminta Nasharuddin keluar PAS dan sertai UMNO dan menuduh pemimpin parti itu yang pro idea kerajaan perpaduan ‘boneka UMNO’, dikatakan membuat ada kalangan pemimpin PAS mula meluat terhadap Nik Aziz.

Mereka merasa pengamatan Tok Guru itu tidak setajam dulu. pembacaan politiknya semakin mendatar, kritikannya semakin terbabas.

Malah beliau seperti hilang kawalan menyebabkan ada ahli serta pemimpin PAS mulai sedih melihat Tok Guru hari ini tidak sama dengan Tok Guru dahulu.

Nada cakapnya pula dianggap lebih bersifat politik dan menyimpang dari apa yang diharapkan yang sebenarnya dari seorang Tok Guru.

Dalam pada itu beliau juga didapati buat kenyataan yang tidak konsisten dan berubah-ubah.

Contoh yang jelas ialah isu sumpah Al-Quran yang melibatkan isu dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim .Tidak lama dulu beliau awalnya sokong kenyataan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin kemudiannya tidak.

Golongan yang sudah lama berjuang dalam PAS itu juga pelik apabila Tok Guru bertemu Lee Kuan Yew tanpa memikirkan siapakah bekas Perdana Menteri Singapura itu dan apakah sudah dilakukannya terhadap orang Melayu di negara itu kesan dasar pemerintahan Kuan Yew.

Lebih buruk lagi apabila Singapura dikaitkan dengan Yahudi, kaum yang jelas menentang serta mahu melihat kehancuran Islam di muka bumi ini.

Maka bertanyalah pemimpin PAS ini, jika orang yang terang-terang menentang Islam dan menyokong Yahudi sebegini boleh dialu-alukan oleh Tok Guru Nik Aziz kenapa sikap yang sama tidak boleh dipakai ke atas UMNO?

Kalaulah dengan Lee Kuan Yew Tok Guru boleh bermuqabalah, kenapa kalau dengan UMNO, sebut pun dah macam berdosa? Kenapa Tok Guru tak tunggu Lee Kuan Yew mengubah dasarnya kepada Islam dulu baru boleh jumpa?

Agendadaily difahamkan, sesetengah pemimpin PAS melihat Tok Guru seakan hilang kawalan apabila bercakap isu berkaitan UMNO khususnya idea kerajaan perpaduan.

Jelas kemarahannya sampai kemuncak apabila meminta Nasharuddin keluar parti dan sertai UMNO.

Kenyataan Nik Aziz supaya PAS ‘tumpah darah’ bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai juga menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Sudah mula ada persoalan dalam PAS apakah parti itu dikuasai Tok Guru semata-mata dan segala cakap dan arahannya mesti dipatuhi dan ditaati?

Timbul juga kebimbangan bahawa sejarah politik dan kehidupan Tok Guru akan berakhir dengan sesuatu yang amat memalukan hingga menyebabkan penghormatan orang ramai terhadap seseorang yang bergelar Tok Guru atau ulama hilang begitu sahaja.

Tambahan pula sejak berpakat dengan DAP dan PKR, sudah ada ulama dalam PAS dilabelkan Ulama E Class kerana mula hidup mengejar kebendaan dan kesenangan.

Golongan yang mulai bimbang dengan segala perubahan tindak tanduk Tok Guru Nik Aziz mula perpesan, “Beringatlah wahai Tok Guruku...janganlah sampai kebencian terhadap sesuatu kaum/kumpulan itu menyebabkan Tok Guru menggadaikan prinsip ukhuwah dan mahabbah sesama jemaah dan menutup pintu dakwah kepada hamba-hamba Allah yang memerlukannya.”

Apakah ini tanda ketaksuban ahli dan pemimpin PAS terhadap Nik Aziz akan berakhir ?

AD - 19/6/2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers