Photobucket

Usaha Terbaru Untuk Sekat Bincang Perpaduan…


Seramai 10 orang Ahli Parlimen PAS Khamis telah menandatangani satu kenyataan menolak sebarang perbincangan dengan UMNO .

Selain itu Musyridul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri menegaskan pakatan pembangkang yang ada sekarang adalah kerajaan perpaduan dan tidak perlu cari yang lain.

Juga ikut ceritanya ada gerakan oleh puak anti-perbincangan perpaduan dengan UMNO untuk menganjurkan tunjuk perasaan depan ibupejabat PAS di Kuala Lumpur dan Kelantan bagi menyatakan sokongan kepada Nik Aziz dan menghentam Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa.

Perkembangan terbaru ini dilihat sebagai langkah untuk kunci rapat parti itu dari sebarang usaha untuk berunding dengan UMNO.

Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok seharian tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat Khamis.

Usaha para wartawan untuk menghubungi beliau bagi mendapat ulasan mengenai kenyataan Nik Aziz desak beliau letak jawatan juga tidak berjaya.

Naib Presiden PAS Mahfuz Omar juga memberitahu wartawan beliau sendiri tidak dapast menghubungi Nasharuddin.

Sepuluh orang Ahli Parlimen PAS yang menandatangani kenyataan itu terdiri dari Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo Lo Ghazali (Titiwangsa), Taib Azamuddin Taib (Baling) and Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar). Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Mohd Hayati Othman (Pendang) and Khalid Samad (Shah Alam).

PAS ada 23 orang Ahli Parlimen.

Dr Hatta yang menjadi jurucakap mereka memberitahu sidang akhbar di lobi parlimen bahawa mereka buat kenyataan bersama itu kerana ramai yang bertanyakan pendirian mereka mengenai idea perbincangan perpaduan itu.

Katanya kini terserah pada Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang dan Nasharudin memberitahu pendirian mereka.

Dalam perkembangan berkaitan Nik Aziz memberitahu para wartawan di Kota Bharu Khamis
beliau akan mengatur satu mesyuarat khas yang hanya akan dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk Nasharudin.

"Saya sendiri akan menjemput Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin Pas lain yang akan saya tentukan kemudian.

"Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini. Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan.

Mengulas lebih lanjut kenyataannya Rabu yang meminta Nasharudin melepaskan jawatan, Nik Aziz berkata beliau belum dihubungi Nasharudin.

Ketika ditanya mengenai kerajaan perpaduan mengikut kehendaknya, Nik Aziz berkata gabungan pakatan pembangkang ketika ini adalah yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

"Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan "Islam phobia" oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan," katanya.

AD - 18/9/2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers