Photobucket

Pembangkang Tak Puas Hati, Kecoh Di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR, 15 Jun – Persidangan Dewan Rakyat yang mula bermesyuarat hari ini berlangsung kecoh selepas 10 minit mengangkat sumpah ekoran tindakan biadap pakatan pembangkang yang diketuai oleh mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mesyuarat Parlimen kedua bagi penggal kedua ini akan berlangsung selama 10 hari iaitu sehingga 30 Jun depan dicemari dengan kekecohan.

Sesungguhnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah persidangan Dewan Rakyat apabila ahlinya menjerit dan lantang tidak menghormati Dewan sebagai penggubal undang-undang.

Tindakan Nizar yang melaungkan ‘Bubar DUN Perak’ berkali-kali telah menimbulkan kekecohan apabila ada sebilangan anggota pakatan pembangkang yang juga turut bertindak sedemikian.

Lantaran itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang tersebut telah diarahkan keluar oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran menjadi punca sikap tidak bertanggungjawab dan memalukan.

Turut diarah keluar ialah empat wakil rakyat pembangkang lain yang memakai lilit kepala ‘Bubar DUN’, selepas Nizar menjerit perkara yang sama hinggakan kekecohan berlaku sekitar 20 minit.

Sesungguhnya, perbuatan ahli-ahli pembangkang tersebut secara jelas membuktikan bahawa mereka tidak peduli dengan perundangan yang ada biarpun di Dewan Rakyat sendiri hinggakan sesi soal jawab yang akan menyentuh hal-hal rakyat turut tidak dipedulikan.

Apa yang pasti, Nizar dan sekutu pembangkang masih lagi tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah kehilangan tampuk pentadbiran di Perak lantas kekecohan yang sebelum ini berlaku di Dewan Negeri cuba pula di bawa ke Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, fikirkanlah kewajaran bagi seorang wakil rakyat yang dipilih untuk membolehkan mereka menyampaikan hasrat dan mendapat pembelaan bagi rakyat sebaliknya, mereka lebih taksub untuk mengejar pangkat dan kuasa.

Sewajarnya, isu berkaitan pentadbiran Negeri Perak tidak timbul lagi tambahan pula keputusan telah pun dibuat apabila tiga Hakim Mahkamah Rayuan memberikan keputusan sebulat suara memihak kepada Dr. Zambry sebagai Menteri Besar.

Lantaran itu, pakatan campuran wajar menghormati keputusan tersebut tanpa memanipulasi atau menimbulkan provokasi yang hanya akan membawa padah dan rakyat menjadi mangsa.

Kematangan berpolitik perlu dijadikan landasan dan keputusan yang dibuat juga perlu diterima dengan tenang tanpa sebarang propaganda atau demonstrasi sebagaimana yang seringkali terjadi apabila keputusan tidak berpihak kepada pakatan campuran.

Dalam hal ini juga, pembangkang tidak perlulah cuba bertindak sebagai hakim kepada rakyat pula dengan berkempen atau menabur cerita sambil mempertikaikan keputusan mahkamah sedangkan jika mengikut kiraan logik matematik juga jelas, majoriti berpihak kepada BN.

Dalam persidangan kali ini, dijangkakan beberapa isu semasa akan menarik perhatian ahli-ahli Dewan untuk dibincangkan khususnya berkaitan masalah ekonomi dan sosial yang juga memberi kepentingan kepada rakyat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers